KOTA KINABALU: Pengusaha kedai makan sekali lagi keliru selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menyebut sama ada ‘dine-in’ dilarang atau sebaliknya.
SOP itu dikeluarkan malam semalam sebelum peralihan negeri terbabit ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Kebanyakan restoran dan kedai makan sudah menerima pelanggan untuk makan di dalam premis selepas pihak berkuasa tempatan memberi kebenaran susulan pengumuman yang dibuat Ketua Menterinya Hajiji Noor.
Mengikut SOP Fasa Kedua di Sabah, semua restoran, kedai makan, kafe, gerai, trak makanan, penjaja dan gerai bergerak dibenarkan beroperasi semula bermula jam 6 pagi hingga 9 malam sama ada dibeli secara bungkus, pandu lalu atau penghantaran.
Ia berbeza pula dengan SOP Fasa Kedua yang dikeluarkan untuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, yang secara khusus melarang ‘dine-in’, namun di Sabah tidak ada penetapan seperti itu dilakukan.
Ia hanya dibenarkan di bawah Fasa Ketiga PPN.
Difahamkan, kriteria ‘dine-in’ dikeluarkan daripada senarai untuk memenuhi permintaan Sabah, namun ia tidak dapat disahkan oleh FMT.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjung tidak menyebut isu terbabit dalam kenyataan harian mengenai Covid-19, walaupun di akaun Twitternya memberitahu SOP Fasa Kedua Sabah akan dikeluarkan hari ini.
Ia berkemungkinan menteri itu mungkin membuat pengumuman khas mengenai isu berkenaan.
FMT cuba menghubungi Masidi untuk mengulas lanjut.
Isu itu menjadi perbincangan hangat di Sabah sejak pengumuman Hajiji pada 28 Jun lalu membenarkan ‘dine-in’ pada keesokan harinya.
Kedai makan dan restoran membenarkan pelanggan makan di premis pada 29 Jun tetapi tidak lama kemudian Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua negeri mematuhi peraturan ditetapkan MKN ketika negara masih lagi menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Masidi kemudiannya berkata, Sabah sudah menghantar SOP baharu untuk Fasa Pertama PPPN kepada kerajaan persekutuan, yang tidak memberi jawapan.
إرسال تعليق