‘Dulu Labuan beribu kes, kini 8, contohilah Labuan’

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH



PUTRAJAYA: Tindakan kesihatan awam serta pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk adalah langkah terbaik dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi contoh situasi jangkitan dilaporkan di Labuan sebelum ini di mana kes positif Covid-19 di wilayah itu pernah mencecah 1,340 kes hanya dalam tempoh seminggu.

“Kita melaksanakan tindakan kesihatan awam dan pemberian vaksin malah, kita kenal pasti jangkitan yang dilaporkan ini melibatkan varian Delta iaitu terdiri daripada pekerja industri perkapalan.

“Dalam masa dua minggu kita melaksanakan tindakan awam dan pemberian vaksin dos pertama (87 peratus) serta dos kedua (52 peratus), dan ia dapat dikawal dalam tempoh dua minggu lebih selain menyaksikan kes menurun.

“Ini menunjukkan walaupun varian Delta dikesan di sana, apa yang penting ialah meningkatkan pemberian vaksin berjaya membendung penularan Covid-19 dalam masa kurang tiga minggu dan hari ini Labuan mencatatkan 6 kes baharu,” katanya.


Hanya mereka yang terlibat khususnya petugas barisan hadapan, tahu dan memahami keperitan membendung penularan wabak Covid-19.
Beliau berkata, justeru kaedah itu perlu diguna pakai di Lembah Klang bagi membendung penularan jangkitan selain meningkatkan pemberian vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

“Kita dimaklumkan sebanyak 5 juta dos akan diberikan kepada Lembah Klang dan setakat ini sebanyak 3.1 juta penduduk di Lembah Klang telah mendapat satu dos.

“Jadi kita akan pertingkatkan 5 juta dos vaksin untuk diberikan dalam tempoh terdekat bagi mencapai vaksinasi semua penduduk Lembah Klang menjelang 1 Ogos depan dengan sekurang-kurangnya satu dos,” katanya.

Noor Hisham menambah, sekiranya pemberian vaksin tersebut dipertingkatkan, kemasukan pesakit positif Covid-19 ke hospital boleh dikurangkan.

“Kita lihat di Labuan, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di sana pernah melebihi 120 peratus dan kita tambah 22 katil selain hospital medan serta pusat kuarantin.

“Sehingga kini, kita lihat penurunan kes di ICU di Labuan sebanyak 55 peratus iaitu hanya ada 9 pesakit selain pesakit di wad juga berkurangan,” katanya.

Katanya, pertambahan katil hanyalah sementara susulan kes yang meningkat namun, penyelesaian bagi mengurangkan kes tersebut adalah dengan meningkatkan pemberian vaksin.

Peningkatan kes di wilayah persekutuan itu adalah disebabkan serangan varian Delta yang mula dikesan di Labuan pada 23 April lalu.

Ini adalah 8 tindakan diambil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan dan Jabatan Peneraju serta Jabatan Kesihatan Labuan bagi mengekang penularan COVID-19 di Labuan dengan lebih berkesan:
i.​Menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan syarat kemasukan tambahan termasuk mewajibkan RT-PCR, kuarantin dan kawalan program-program ekonomi termasuk perkapalan.
ii.​Program sanitasi COVID-19 terancang di kawasan bersasar yang melibatkan saringan bersasar (active case detection).
iii.​Program pemantauan khas melibatkan kawasan-kawasan yang telah menjalani PKPD bagi memastikan kes terkawal.
iv.​Program pemantauan yang meneliti varian VOC Delta B.1.617.2, corak jangkitan, epidemiologi COVID-19 dan perancangan kawalan COVID-19 di WP Labuan.
v.​Program promosi dan pendidikan kesihatan termasuk program khas “Rumah Bebas COVID-19”.
vi.​Program penguatkuasaan bersepadu diketuai oleh pihak PDRM.
vii.​Program 'risk communication' untuk mengawal penyebaran maklumat yang boleh membawa kepada situasi panik dalam kalangan orang ramai.
viii.​Pembangunan Hospital Medan bagi menyokong perkhidmatan Hospital Labuan sedia ada.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.