Jaringan Josip Ivancic bantu Sabah ikat Sri Pahang

Sabah FC mensia-siakan peluang untuk mengutip 3 mata penuh selepas terikat 2-2 dengan Sri Pahang di Stadium Likas.



Penyerang import Sabah, Josip Ivancic menyelamatkan Sabah Football Club (FC) daripada mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila 'sepakan terakhir perlawanan' yang dilakukannya berjaya menghasilkan gol sekali gus mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Aksi babak pertama memperlihatkan Sri Pahang lebih banyak menguasai permainan namun hanya banyak berlegar di kawasan luar kotak penalti tuan rumah.

Sebaliknya, Sabah dilihat lebih berbahaya setiap kali melakukan serangan termasuk cubaan Ivancic pada minit ke-5 hasil hantaran tepat daripada Levy Clement Madinda.

Tok Gajah bermula garang dan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Sabah dengan beberapa gerakan berbahaya namun ketumpulan penyudah merencatkan usaha mereka untuk mencari jaringan awal.

Sabah mula memperolehi peluang terbaik melalui Saddil Ramdani pada minit ke 35 tetapi rembatannya tersasar. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah mengandakan asakan ke kubu Sri Pahang. Percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke 49 melalui sepakan gunting Amri Yahyah tapi terkena tiang.


Pada minit ke 58, Josip Ivancic menjaringkan gol pertama Sabah selepas menyudahkan hantaran cantik daripada Amri Yahyah daripada sebelah kanan. Ini merupakan jaringan pertama beliau dalam saingan Liga Super 2021.

Bagaimanapun, kegembiraan Sabah tidak bertahan lama apabila pemain sayap Sri Pahang, Baqiuddin Shamsudin manfaatkan peluang terhidang dengan merembat masuk gol penyamaan dari sebelah kanan pada minit ke 67.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat pelawat untuk membawa pulang 3 mata ke Kuantan. Malah, Sri Pahang juga mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol kedua selepas Azam Azih gagal menyudahkan hantaran Kenny Athiu dalam kotak penalti pada minit ke 78.

Perlawanan mula menjadi rancak di minit akhir perlawanan apabila kedua-dua pasukan saling menyerang dan lebih banyak rembatan dari luar kotak penalti dilakukan.

Usaha Tok Gajah melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila Malik Arif menyudahkan lorongan cantik daripada Manuel Hidalgo pada minit ke 94.


Seminit kemudian, Sabah juga kembali menyamakan kedudukan melalui Josip Ivancic yang menghukum kelekaan benteng pertahanan Tok Gajah. Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2 sekaligus menafikan hasrat pelawat untuk mengutip 3 mata penuh.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.