Kuantiti vaksin dos tunggal di Sabah mesti dipertingkat - MP Kimanis

Mohamad juga meminta pemain Industri Kecil Sederhana (IKS) dan pelancongan di negeri itu diberi suntikan vaksin secepat mungkin bagi merancakkan semula sektor ekonomi. - Bernama



KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) digesa mempertingkatkan kuantiti vaksin dos tunggal seperti CanSino, kepada rakyat Sabah.

Menurut Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, perkara itu penting memandangkan keadaan geografi dan kawasan pedalaman di negeri itu.

"Jadi saya minta (vaksin) single-dose ini diperbanyakkan kuantitinya dan saya percaya ia telah diluluskan dan MOSTI, Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk menghantar CanSino ke Sabah.

"Cuma permintaan saya, kuantitinya harus dipertingkatkan kerana Sabah negeri yang luas dan memerlukan single-dose ini,’’ katanya semasa hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen (Dewan Rakyat) pada Selasa.

Selain itu, kerajaan juga diminta mempercepatkan penghantaran bekalan vaksin sekali gus menambah bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) memandangkan PPV di Sabah dilihat tidak mencukupi.


Langkah itu, kata beliau bagi mempercepat sasaran penerima vaksin menjelang pertengahan Ogos ini.


‘’Saya dikhabarkan bahawa bilangan rakyat Sabah akan divaksin sebanyak 750,000 menjelang minggu ketiga Ogos ini, namun ini adalah satu kadar yang masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan 2.7 juta rakyat dewasa negeri ini yang layak divaksin.

‘’Jadi saya meminta kepada KKM, beri penerangan kepada MOSTI dan Kerajaan Pusat supaya menghantar vaksin secepat mungkin dan lebih banyak kepada negeri Sabah,’’ tambahnya.


Antara lain, Mohamad juga meminta pemain Industri Kecil Sederhana (IKS) dan pelancongan di negeri itu diberi suntikan vaksin secepat mungkin bagi merancakkan semula sektor ekonomi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.