Salah satu struktur haram yang dirobohkan di hutan simpan Paitan. Gambar milik JABATAN HUTAN SABAH |
OBK Sabah Berjaya Tangani Pencerobohan Hutan Simpan Paitan
PAITAN : Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) telah merobohkan 14 struktur bangunan yang didirikan secara haram di tiga (3) lokasi berasingan di dalam hutan simpan Paitan, disini pada jumaat lalu.Operasi meroboh struktur haram ini dibuat menerusi Operasi Bersepadu Khazanah, yang diterajui oleh Tiger Platoon PGA yang mana turut disertai oleh Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar, Taman-Taman Sabah dan WWF Malaysia.
Kekuatan anggota yang terlibat dari pelbagai agensi adalah 37 orang. Tiada suspek dijumpai di dalam bangunan kerana dipercayai berada di kediaman tetap mereka di Kudat. Berdasarkan maklumat, penceroboh haram adalah warga negara.
Ketua Konservator Hutan Sabah, En. Frederick Kugan berkata, kerja meroboh terpaksa dijalankan sebagai jalan terakhir setelah tiga (3) notis keluar hutan simpan dan amaran lisan berulangkali tidak dipedulikan oleh penceroboh haram. Tiga lokasi yang dirobohkan dalam operasi ini adalah kediaman sementara (sulap) dan tidak berdaftar sebagai perkampungan di pejabat Daeah Kecil Paitan.
Selain struktur bangunan, peneroka haram juga menanam tanaman kontan seperti pisang, ubi, sayuran dan sedikit buah-buahan yang masih kecil. Keluasan yang diteroka dianggarkan 14 hektar. Sebelum ini kawasan ini mempunyai dirian hutan yang unggul dan merupakan habitat pelbagai hidupan liar.
Gambar milik JABATAN HUTAN SABAH |
Kejayaan melaksanakan misi mendepani pencerobohan hutan simpan Ketua Konservator Hutan Sabah, Frederick Kugan turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Komander Briged PGA Sabah atas bantuan bagi menangani segala jenis jenayah perhutanan melalui OBK yang sedang dilaksanakan ketika ini.
OBK ini sangat berkesan kerana disertai oleh pelbagai agensi dan keanggotaan ketika operasi pula adalah ramai. Jabatan Perhutanan berharap OBK ini dapat diteruskan meskipun dibuat secara berkala mengikut keperluan.
14 struktur bangunan yang dibina secara haram di sebidang 14 hektar di hutan simpan Paitan telah dirobohkan oleh pihak berkuasa. - Gambar dari JABATAN HUTAN SABAH |
Sebelum ini jabatan telah menawan semula beberapa kawasan yang diceroboh secara haram dan kawasan tersebut telah dipulihkan sebagai kawasan hutan melalui projek restorasi hutan.
Antaranya hutan simpan Mersuli, Tg. Tummanung Hallu, dan Sapagaya Lahad Datu, Beluran, Kinabatangan dan Sandakan.
Adalah menjadi kesalahan dibawah Enakmen Hutan 1968, seksyen 20 (1)(b)(i) mendirikan apa-apa struktur dalam kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan hak disisi undang-undang hutan. Begitu juga bagi kegiatan bercucuk tanam dan menternak sebarang jenis ternakan dalam kawasan hutan simpan. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.00 atau penjara hingga (3) tahun.
Justeru itu, Frederick menasihati orang awam supaya tidak sekali-kali menceroboh kawasan hutan simpan untuk sebarang tujuan seperti mengambil kayu, tumbuhan, memburu haiwan, bercucuk tanam, melombong dan mengambil batuan.
Hutan Simpan diwartakan untuk kepentingan semua samada hari ini atau untuk generasi akan datang. Bukan dibolot oleh individu atau sekumpulan orang yang hanya mementingkan diri sendiri.
Disamping itu, perlu disedari bahawa sebarang gangguan keatas kawasan hutan simpan akan mendatangkan kesan buruk seperti banjir kilat, pencemaran air sungai yang menjadi sumber air kepada semua, peningkatan pemanasan cuaca global, gangguan kepada habitat hidupan liar dan seumpamanya.
Semua kesan buruk ini secara langsung akan menjejaskan industri pelancongan dalam negeri ini yang mana diketahui umum berteraskan pelancongan alam semulajadi. - NST
إرسال تعليق