2 lelaki warga asing ditahan cuba seludup minyak petrol ke negara jiran

TANGKAPAN: Kedua-dua suspek dan minyak petrol yang dirampas dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan selanjutnya.



SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi ke negara jiran di perairan Pulau Mataking, di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan tugas Op Benteng COVID-19 di perairan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata pasukannya mengesan pergerakan tiga buah bot laju dari arah Pulau Kalapuan menuju ke perairan negara jiran.

“Pasukan keselamatan bertindak menghampiri ketiga-tiga bot berkenaan untuk membuat pemeriksaan dokumentasi dan muatan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Menurutnya, kesemua suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan cuba meloloskan diri dengan memecut laju bot mereka.

“Namun, dua daripada bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan, manakala sebuah lagi berjaya meloloskan diri.

“Pemeriksaan keatas kedua-dua bot berkenaan masing-masing terdapat seorang juragan yang berumur 18 dan 32 tahun,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua bot berkenaan berjaya menjumpai 47 gelen berkapasiti 30 liter berisi minyak petrol disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Turut ditemui sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM486.30 dipercayai digunakan untuk transaksi jual beli minyak petrol bersubsidi tersebut.

“Jumlah keseluruhan barang rampasan termasuk dua buah enjin dan tiga tangki minyak tersebut dianggarkan bernilai RM 34,601 30,” katanya.

Mohd Yacob berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini, kedua-dua suspek masih disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 diperolehi,”katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.