Beri keutamaan penghantaran bekalan CanSino ke Sabah

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman



KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memberi keutamaan untuk penghantaran bekalan vaksin CanSino ke Sabah bagi mempercepat proses vaksinasi kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, vaksin dos tunggal CanSino penting kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar yang tidak mempunyai akses jalan raya yang baik.

Ketika ini, kata beliau, Sabah berada pada landasan yang terbaik kerana kadar pemberian vaksin harian sudah melebihi 40,000 dos sehari dan ia mampu mencapai sehingga 60,000 dos sehari, sekiranya bekalan vaksin yang diterima mencukupi.

“Pada masa ini, penduduk luar bandar dan pedalaman terpaksa diberikan vaksin dua dos dan ia menyebabkan petugas kesihatan terpaksa kembali ke lokasi sama selepas dua minggu.

“Situasi ini memberi cabaran kepada petugas kerana keadaan geografi Sabah yang berbukit bukau serta akses jalan raya yang kurang memuaskan boleh mengakibatkan petugas berdepan bahaya,” katanya dalam laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Bekas Menteri Luar itu berkata, jika ada vaksin dos tinggal, petugas hanya perlu datang sekali ke lokasi pemberian vaksin yang terletak jauh di kawasan pedalaman.

Jelas beliau, langkah itu juga akan membantu usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

Difahamkan, bekalan vaksin dos tunggal CanSino sebanyak 400,000 dos akan tiba ke Malaysia 15 Ogos ini menggunakan penerbangan AirAsia.

Menurut Anifah, bekalan yang diterima dari China itu harus dihantar ke Sabah seperti yang dijanjikan ini.

Bagaimanapun, katanya, penghantaran perlu mengikut jadual yang ditetapkan dan jangan ada gangguan dalam proses penghantaran.

Tambahnya, bekalan vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan Astrazaneca juga perlu ditingkatkan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

Pada 23 Julai lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan Sabah akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal, CanSino.

Jaminan itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin selaku Menteri penyelaras PICK. 

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.