Jangan ambil kesempatan lengkap 2 dos rentas negeri, daerah tanpa tujuan penting

Mazli merakamkan gambar kenangan bersama pegawai serta anggota IPD Kota Belud di Kampung Lahanas semasa program Ops Bantu.



KOTA BELUD: Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menggunakan alasan lengkap dua dos suntikan vaksinasi COVID-19 untuk keluar rumah atau merentas daerah tanpa sebarang tujuan penting.

Timbalan Pesurujaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata ini kerana sikap pentingkan diri sendiri seperti itu boleh menyebabkan lebih ramai individu berisiko terdedah kepada virus berbahaya itu.

“Saya nasihatkan mana-mana individu yang sudah sudah melengkapi dua dos vaksin agar tidak menyalahgunakan kelonggaran pergerakan untuk merentas negeri atau daerah secara sewenangnya berikutan wabak COVID-19 masih ada dalam komuniti kita.

“Masyarakat perlulah lebih berhati-hati kerana tidak bermaksud kelengkapan dua dos vaksin tidak akan dijangkiti COVID-19 malah lebih teruk anda boleh menjadi pembawa yang boleh menjangkiti individu lain yang belum menerima vaksin ini,” katanya.

Tambahnya sikap lebih bertanggungjawab iaitu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengamalkan norma baharu membantu mengurangkan tahap jangkitan dalam komuniti itu sendiri.


Mazli menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk pada Program Op Bantu Fasa 3 peringkat IPD Kota Belud di Kampung Lahanas Siba.
Dalam pada itu Mazli turut menegaskan kepada penduduk di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk mematuhi arahan serta SOP ditetapkan bagi bersama-sama melandaikan penyebaran COVID-19 di kawasan masing-masing.

Katanya tindakan itu adalah bagi memastikan tiada penularan COVID-19 ke kawasan luar yang dibawa oleh penduduk di dalam tempat terbabit.

“Jangan pentingkan diri sendiri dengan keluar serta melarikan diri dari kawasan masing-masing apabila mengetahui kawasan rumah atau perkampungan mahupun taman perumahan sebaik diumumkan untuk dikenakan PKPD sehari sebelum pelaksanaannya.

“Tindakan ini adalah bagi mengelakkan penyebaran jangkitan COVID-19 ke kawasan lain yang dibawa oleh individu yang keluar dari kawasan PKPD terbabit.

“Perbuatan ini juga boleh menyebabkan lebih ramai kawasan dijangkiti seterusnya menambah lagi kawasan PKPD serta jumlah jangkitan harian di kawasan masing-masing,” katanya.

Menurutnya tindakan itu bukan hanya berbahaya kepada individu lain malah turut membawa padah kepada diri sendiri dan akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Saya menggesa penduduk yang tinggal di kawasan PKPD agar duduk di rumah masing-masing selama tempoh yang ditetapkan kerana pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengingkari arahan ini.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun serta tangkapan kerana perbuatan ini melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengagihkan bantuan kotak makanan pada Program Ops Bantu kepada penduduk di Kampung Lahanas di sini.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.