Lebih 1,000 penduduk sekali lagi kena PKPD di Kampung Balung Cocos, Tawau

Gambar hiasan




PUTRAJAYA – Lebih 1,000 penduduk Kampung Balung Cocos di Tawau, Sabah sekali lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa ini, iaitu antara lima lokaliti di dua negeri diwartakan perintah itu.

Perkampungan masyarakat Melayu Cocos itu pernah dikenakan PKPD selama tempoh 14 hari dari 1 Julai sehingga 14 Julai lepas.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, turut dilaksanakan PKPD di negeri berkenaan ialah Kampung Buanog Matunggong, Kudat manakala baki tiga lokaliti lagi terletak dalam Jajahan Tumpat, Kelantan.

Ini termasuk Kampung Bunut Sarang Burung, yang pernah merekodkan sebuah institusi pendidikan agama terkenal di lokaliti tersebut diwartakan PKPD dari 16 April sehingga 2 Mei lalu susulan kluster rentas negeri melibatkan kes pertama dari seorang pelajar berusia 16 tahun yang pulang ke Malaysia kemudian mencetuskan varian baharu, Beta dari Afrika Selatan.

Turut dikenakan PKPD di negeri tersebut ialah Kampung Telaga Bata dan Kampung Kajang Sebidang dengan kesemuanya itu dijangka tamat perintah berkenaan pada 6 September ini.

“Dua lokaliti di Sabah yang dilaksanakan PKPD sejak 10 Ogos lalu disambung lagi membabitkan kawasan Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan Taman Semarak Indah yang kedua-duanya terletak dalam Bahagian Tawau susulan trend kes Covid-19 masih tinggi,” katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.