Perairan Sabah jadi ‘hotspot’ bom ikan

Tangkapan dan rampasan bahan letupan bagi aktiviti pengeboman ikan di perairan Sabah




KOTA KINABALU: Amaran sudah dikeluarkan bahawa tiada kompromi terhadap pihak yang terlibat dalam pengeboman ikan.

Namun, sehingga hari ini aktiviti pengeboman ikan masih lagi berlaku di Sabah. Tradisi menangkap ikan yang begitu popular di Filipina ini mula dibawa masuk ke Sabah sejak beberapa tahun lalu.

Jika dahulu pantai timur Sabah menjadi lokasi pilihan pengebom ikan kini, kawasan pantai barat juga mula merekodkan insiden yang sama.

“Selagi ada permintaan terhadap ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan ini, selagi itu aktiviti ini masih berlaku.

“Ada tauke yang membeli ikan dibom untuk dijadikan ikan masin dan dibawa ke negara jiran, Filipina, bukan untuk pasaran Sabah,” kata Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin.


AHMAD Ariffin menunjukkan saluran Whatsapp PPM Wilayah 4 Sabah yang banyak membantu mengesan aktiviti pengeboman ikan
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad berkata, apabila PPM berjaya membanteras kapal-kapal besar yang terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan kini, bot-bot kecil pula yang melakukan aktiviti tersebut. Bot-bot kecil ini lebih sukar untuk dikesan kerana mereka bergerak bersendirian.

Maka, kerjasama daripada masyarakat setempat amat penting bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengeboman ikan yang berlaku di kawasan mereka.

Jelasnya, perairan Sabah terlalu luas untuk dikawal, jadi apabila pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengeboman ikan, mereka akan pastikan individu terlibat ditangkap. PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menangkap ikan dengan cara yang menyalahi undang-undang ini.

Menurut beliau, berdasarkan statistik bagi 2017 hingga 2021, sebanyak 134 kes tangkapan bagi kes pengeboman ikan direkodkan dan membabitkan 141 orang pesalah ditahan.

Sepanjang tempoh sama, 159 unit bahan peledak dan ikan yang dibom sebanyak 6,448 kilogram berjaya dirampas.

Daripada 134 kes yang direkodkan, daerah yang paling banyak mencatatkan kes pengeboman ikan adalah Semporna dengan 58 kes, 34 kes di Kota Kinabalu dan 14 kes di Lahad Datu. Sementara itu, enam kes dicatatkan di Sandakan, lima kes di Labuan dan hanya satu kes dilaporkan di Tawau.

Bagaimanapun katanya, berikutan sekatan pergerakan semasa pandemik Covid-19 ini, berlaku penurunan kes pada tahun lalu sehingga Julai ini. Pada tahun lalu hanya 26 kes dilaporkan dan setakat Julai ini, 11 kes bom ikan direkodkan.


Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin.
Jelasnya, kes-kes tangkapan bom ikan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara tidak lebih dua tahun; Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara selama tujuh tahun; Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara selama dua tahun dan Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM750,000 atau penjara selama tujuh tahun.

Tambah Ahmad, PPM Sabah mengambil inisiatif menyediakan saluran Whatsapp di talian 013-9391197 untuk komuniti maritim menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengeboman ikan dan jenayah yang berlaku di perairan Sabah.

Jelas beliau, apa yang lebih penting adalah kesedaran masyarakat kerana tiada guna jika undang-undang yang tegas dikuatkuasakan tapi orang ramai masih menyokong mahupun membeli ikan yang ditangkap dengan bahan letupan hanya disebabkan harga yang murah. -UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.