Petugas urus jenazah di Sabah ‘lumpuh’ akibat Covid-19

Petugas pengurusan jenazah mengendalikan secara purata 6 jenazah pada masa sehari.



KOTA KINABALU: “Ketika kes mula meningkat, pasukan pengurusan jenazah kami berdepan ujian apabila salah seorang disahkan positif Covid-19.

“Pada masa itu, pasukan kami boleh dikatakan lumpuh kerana semua diarahkan menjalani saringan Covid-19 dan dikuarantin”.

Itu antara dugaan dihadapi petugas pengurusan jenazah Covid-19 Hospital Queen Elizabeth (HQE), Mohamad Matassian Ogus, 33, sepanjang mengendalikan jenazah Covid-19 sejak April tahun lalu.

Menurutnya, sejak kejadian pada November tahun lalu itu, mereka lebih berhati-hati ketika berada di luar mahupun semasa menguruskan jenazah Covid-19.

Jelas beliau, mereka mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa mengendalikan jenazah Covid-19 sama ada, semasa proses tayammum, solat jenazah mahu pun ketika berada di tanah perkuburan.


MOHAMAD Matassian Ogus bersama petugas pengurusan jenazah HQE Kota Kinabalu yang lain semasa mengebumikan salah seorang pesakit Covid-19. 
“Aspek pematuhan SOP perlu dititikberatkan kerana kami berhadapan risiko yang tinggi semasa menguruskan jenazah Covid-19,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

MOHAMAD MATASSIAN OGUS
Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah itu berkata, semasa pasukannya yang terdiri daripada tujuh orang petugas diarahkan menjalani kuarantin, pasukan pengurusan jenazah dari Papar datang membantu sehingga mereka selesai dikuarantin.

Katanya, semasa menguruskan jenazah Covid-19, pelbagai ragam dan kisah duka yang boleh dilihat dan insiden yang paling menyedihkan apabila tiga anggota keluarga meninggal dunia dalam tempoh beberapa minggu.

“Insiden ini paling menyentuh hati saya apabila seorang waris kehilangan abang, ibu dan bapa dalam tempoh berselang dua hingga tiga minggu. Bayangkan dalam tempoh yang singkat, dia kehilangan tiga anggota keluarga sekali gus kerana Covid-19.

“Ada pula insiden, waris tidak dapat menerima hakikat ahli keluarga meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19. Kes ini terpaksa membabitkan campur tangan polis kerana keluarga waris membuat kecoh di tanah perkuburan,” katanya.

Jelas Mohamad Matassian, beliau bersyukur kerana mereka hanya ditengking serta dimarahi dan tidak berlaku sebarang insiden lain namun ia merupakan kes terpencil.


PASUKAN pengurusan jenazah Covid-19 HQE Kota Kinabalu membawa jenazah Covid-19 dari Kampung Rampayan, Menggatal menggunakan bot. 
Katanya, petugas pengurusan jenazah perlu kuat dari segi mental bagi berhadapan situasi sebegini, apatah lagi jika mereka perlu mengendalikan secara purata enam jenazah pada masa sehari.

Biarpun ada antara mereka yang pernah ingin berputus asa kerana terlalu letih menguruskan jenazah tanpa henti tetapi, sokongan daripada rakan sepasukan membantu mereka untuk kembali bersemangat dan melaksanakan tugas itu dengan penuh tanggungjawab.

Bagi HQE Kota Kinabalu, hanya tiga pasukan yang menguruskan jenazah Covid-19 beragama Islam iaitu dua pasukan terdiri daripada kakitangan Jakim dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan satu pasukan daripada pertubuhan bukan kerajaan bukan kerajaan (NGO) pasukan Amal. 

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.