Selesaikan dahulu isu Covid, henti buang masa dengan ‘politik tukar kerajaan’

KOTA KINABALU: Pihak-Pihak yang berkenaan diminta berhenti membuang masa dan usaha mereka dalam ‘permainan politik tukar kerajaan’ sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap langkah-langkah bagi menyelesaikan isu Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam. (pix)



Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata tidak ada jaminan bahawa tindakan menukar kerajaan boleh menghentikan pandemik Covid-19 justeru adalah penting bagi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus berusaha menyelesaikan masalah virus berbahaya tersebut demi kesejahteraan penduduknya.

“Ini bukanlah masa yang sesuai untuk menukar kerajaan. Bagaimana kita boleh yakin bahawa penularan Covid-19 akan berhenti selepas kita menukar kerajaan? Mungkin keadaan akan menjadi semakin teruk... tiada kepastian. Oleh itu, marilah kita menghentikan permainan politik ini dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha menyelesaikan masalah Covid-19,“ menurutnya dalam kenyataan kelmarin.

Dr Joachim, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, berkata rakyat negeri itu telah memberi mandat kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri pada tahun lepas, justeru adalah menjadi tanggungjawab pemimpin gabungan tersebut untuk memenuhi janjinya kepada mereka.

GRS merupakan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan PBS.

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee pula berkata usul undi percaya yang akan dibentang dalam sidang Parlimen selepas ini bagi menentukan sokongan majoriti kepada Perdana Menteri adalah langkah paling tepat selaras dengan perlembagaan dan demokrasi berparlimen dalam sistem raja berperlembagaan.

Beliau berkata ia adalah cara paling berkesan bagi menghentikan permainan politik tidak berkesudahan dan telah menjerumuskan rakyat ke kancah kesengsaraan serta kekecewaan kerana mereka sebenarnya ingin melihat perebutan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri berakhir dan kerajaan boleh melaksanakan Pelan Pemulihan Negara.

“Memandangkan proses vaksinasi Covid-19 kini berada di tahap yang tinggi, kita hanya memerlukan masa beberapa bulan sahaja lagi untuk mencapai imuniti kelompok dan membuka semula ekonomi,“ katanya.

Bagi Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pendirian parti itu adalah teguh untuk tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sebarang laporan yang mendakwa sebaliknya adalah palsu serta berniat jahat.

Beliau berkata Warisan mahu Parlimen bersidang secepat mungkin bagi membuktikan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya memiliki sokongan di Dewan Rakyat

“Ini akan menjernihkan keadaan dan tidak perlu tunggu hingga September. Usul undi percaya hendaklah menjadi satu-satunya isu yang dibahaskan pada sesi ini,“ menurut Ahli Parlimen Semporna itu dalam kenyataan kelmarin.

-Bernama

Post a Comment

أحدث أقدم