STAR kekal sokong Muhyiddin, minta pembangkang berhenti berpolitik

JEFFREY KITINGAN




KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal dengan pendirian untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, biarpun didesak untuk meletak jawatan Muhyiddin masih kekal Perdana Menteri.

“Berdasarkan perlembagaan, beliau masih Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen mempunyai ruang untuk menentukan kedudukannya sebagai Perdana Menteri pada September ini.

“Pada masa sama, semua dakwaan bahawa Muhyiddin adalah pengkhianat kepada raja adalah tidak berasas. Ketika ini semua pemimpin seharusnya bekerjasama tidak kira kerajaan mahupun pembangkang untuk menangani Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Keningau itu berkata, usaha kerajaan menangani penularan Covid-19 turut terjejas susulan kemelut politik yang berlaku.


Jeffery Kitingan mengatakan STAR dengan tegas berada di belakang Muhyiddin Yassin, yang secara konstitusional masih menjadi perdana menteri.
Katanya, perbalahan yang sedang berlaku sudah pasti mengganggu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti dijadualkan.

Semalam, kes positif hampir mencecah 20,000 kes dan bilangan itu dijangka terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

“Apa yang paling menyedihkan, semasa persidangan khas Parlimen selama empat hari, pembangkang tidak henti-henti membangkitkan isu politik dan langsung tidak menyumbang kepada usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen tidak berbelah bahagi daripada kerajaan bagi memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk melaksanakan pemulihan ekonomi dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Pembangkang seharusnya memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan pelan ini,” katanya.

Pemimpin STAR ini berkata demikian susulan kemelut politik yang berlaku apabila pemimpin UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional pada Selasa.

Bagaimanapun semalam, Muhyiddin mengesahkan beliau masih memiliki sokongan dan kekal sebagai Perdana Menteri. Keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan pada persidangan Parlimen pada September menerusi usul undi percaya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.