Sungai Padas, sumpahan rumah batu tarikan pelancongan di Pangi

Aktiviti kayak lasak yang menjadi tarikan di Sungai Padas, Tenom-Ihsan Billy Lebang



TENOM: Terletak jauh di pedalaman Sabah tanpa ada kemudahan jalan raya dan capaian internet yang baik menyebabkan penduduk Kampung Pangi terputus hubungan dengan dunia luar.

Namun, perkembangan sektor pelancongan di kampung yang terletak kira-kira 154 kilometer dari Kota Kinabalu ini mula menerima kunjungan pelancong asing.

Benedik Manggang Engkim, 75, berkata, kampung itu mempunyai keunikan tersendiri kerana berada di sepanjang Sungai Padas dan ia merupakan lokasi terbaik bagi melakukan aktiviti kayak mahupun perkhemahan.

Penduduk Kampung Pangi ini berkata, sepanjang perjalanan ke Pangi, pelancong boleh menikmati pemandangan indah Sungai Padas semasa menaiki kereta api dari pekan Beaufort ke Tenom atau dari pekan Tenom ke Pangi. Pekan Beaufort terletak 125 kilometer dari Tenom yang mengambil masa perjalanan kira-kira 1 jam 30 minit menaiki kereta api manakala, dari pekan Tenom ke Pangi mengmbil masa selama 30 minit.

Sebelum pandemik Covid-19, beliau mempunyai pendapatan sampingan apabila rumah tumpangannya menjadi tempat untuk pelancong berehat dan membersihkan diri selepas melakukan aktiviti di Sungai Padas.


Pemandangan Sungai Padas di Tenom, Sabah yang menjadi lokasi pilihan pelancong melakukan aktiviti kayak lasak.
“Saya menyediakan bilik mandi dan tandas untuk kemudahan pelancong. Jadi, ada juga pendapatan sampingan yang saya peroleh selain daripada jualan hasil pertanian dan perusahaan kedai runcit.

“Tapi, sejak sempadan dan sektor pelancongan ditutup, pendapatan kami pun turut terjejas,” katanya Utusan Malaysia semasa ditemui baru-baru ini.

BENEDIK MANGGANG ENGKIM
Berkongsi mengenai kisah di Pangi, Benedik berkata, terdapat sebuah kisah sumpahan yang menarik dan berpotensi menjadi tarikan pelancongan. Kisah rumah batu yang membabitkan sumpahan terhadap sebuah keluarga yang dipercayai dipanah petir pada tahun 1960-an.

“Sebuah keluarga dipercayai memberikan montoku atau minuman keras tradisional suku kaum Kadazan Dusun kepada haiwan peliharaan seperti ayam dan anjing. Ini menyebabkan mereka terkena sumpahan dan keras menjadi batu selepas dipanah petir di dalam rumah tersebut.

“Dipercayai sebahagian daripada anggota keluarga tersebut yang keluar memburu di tebing sungai Padas berhampiran Kampung Rayoh juga keras menjadi batu bersama perahu yang dinaiki.

“Rumah batu yang terletak di seberang sungai di Kampung Motolob berpotensi untuk dikomersialkan sebagai tarikan pelancongan. Biarpun sebelum ini ada beberapa pelancong sudah berkunjung ke situ tapi, tidak ramai yang mengetahui kisah rumah batu berkenaan.

“Perjalanan ke rumah batu itu memerlukan pelancong menyeberang lapan anak sungai dan lapan bukit yang mengambil masa perjalanan antara empat hingga lima jam. Pelancong perlu berkhemah semalaman di situ bagi menikmati keindahan air terjun berhampiran rumah batu tersebut,” katanya.


Kampung Pangi di Tenom Sabah
Sementara itu, Jhayley Jinigol, 26, yang pernah bertugas sebagai river guide selama lima tahun, berkata, perkembangan sektor pelancongan di situ membantu anak muda sepertinya mendapat pekerjaan.

“Kami tidak perlu berhijrah ke bandar untuk bekerja. Tapi, penutupan sektor pelancongan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai belia kampung ini kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, Jhayley melihat sektor pelancongan di Pangi berpotensi untuk dikembangkan jika kampung itu mempunyai akses jalan raya. Ketika ini, pelancong tidak dapat meluangkan masa yang lama di Pangi kerana jadual perjalanan kereta api agak terhad iaitu hanya dua kali sehari.

Tambah beliau, sekiranya banyak inap desa disediakan dan aktiviti pelancongan seperti kayak lasak, mendaki ke gua dan air terjun boleh dipakejkan, sektor pelancongan di Pangi akan dapat dipertingkatkan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.