Tidak perlu kerajaan perpaduan – UPKO

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau



KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tidak melihat ada keperluan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan pada masa ini.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan perpaduan tidak mungkin akan berjaya sekiranya semua pemimpin tidak mempunyai kepercayaan antara satu sama lain.

Ketika ini, sokongan majoriti 111 kerusi tidak cukup kukuh bagi menstabilkan politik negara.

Maka, nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan rentas parti adalah langkah terbaik untuk mengakhiri kemelut politik yang berlaku.

“Malaysia bukan hanya memerlukan Perdana Menteri mahupun kerajaan baharu sebaliknya, kita memerlukan acuan politik baharu.

“Apa yang diperlukan sekarang adalah Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) harus dimeterai antara parti yang dominan dengan parti-parti pembangkang.

“Langkah ini lebih baik kerana jika ada usul undi percaya mahupun pengundian semasa belanjawan, semua pihak akan memberi pandangan yang sama dan suara pembangkang turut diambil kira ketika membuat sesuatu dasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, pada masa ini semua parti perlu memberi keutamaan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 bagi memulihkan semula ekonomi negeri.

Proses pemulihan ekonomi negara memerlukan sokongan daripada kedua-dua belah pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.- UTUSAN ONLINE

Post a Comment

أحدث أقدم