‘Walk-In’ Vaksinasi, Perkarangan SICC Dibanjiri Orang Ramai

Gambar tular menunjukkan kesesakan orang ramai di PPV SICC di Kota Kinabalu.




KOTA KINABALU: Kebenaran vaksinasi secara walk-in di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membawa kepada beberapa kesesakan yang luar biasa dilihat di PPV di negeri ini.

Hari ini tular gambar orang ramai beratur panjang untuk mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Menerusi gambar dan video tular dalam media sosial, pekarangan laluan utama SICC dibanjiri dengan orang ramai yang cuba untuk walk-in bagi mengambil vaksin tanpa mempedulikan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, difahamkan kehadiran dua lori polis kira-kira 10 pagi tadi berjaya meredakan keadaan dan orang ramai mula bersurai dari PPV berkenaan.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong mengatakan keputusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan vaksinasi secara walk-in akan mengundang malapetaka dan risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, kebenaran walk-in boleh mendatangkan risiko serta mengundang malapetaka jika tiada kawalan dilakukan di PPV.

Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan kebenaran vaksin secara walk-in itu sudah mendapatkan nasihat doktor dan petugas barisan hadapan.

Menurutnya, GRS sepatutnya berfikir apa yang akan berlaku jika beribu-ribu orang datang secara walk-in dan salah seorang daripada mereka positif Covid-19.

Beliau mencadangkan PPV yang boleh walk-in dengan PPV yang tidak boleh walk-in diasingkan untuk memudahkan urusan semua pihak termasuk petugas kesihatan.

“Saya rasa idea walk-in ini adalah baik, tapi ia perlu dilaksana secara teratur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan malapetaka berlaku jika ribuan orang bersesak-sesak di satu tempat,” jelasnya.


KEADAAN di PPV SICC berjaya dikawal dan orang ramai dilihat menunggu giliran dengan mematuhi SOP ditetapkan.-Ihsan IPD Kota Kinabalu

Polis berjaya kawal kesesakan di PPV SICC

Kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berjaya dikawal oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Gambar tular menunjukkan orang ramai bersesak di PPV itu dirakam pada 7 pagi tadi dan 30 minit kemudian pasukan pemantau daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu datang memantau dan mengawal keadaaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Superitendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, orang ramai yang sedang beratur di dalam gambar tersebut merupakan individu-individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sama ada secara walk-in mahupun janji temu.

Beliau berkata, pemerhatian awal mendapati kawasan pekarangan PPV SICC penuh sesak dengan orang ramai yang dianggarkan melebihi 5,000 orang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati penduduk tempatan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutama dalam aspek penjarakan fizikal.

“Namun, warga asing yang tidak mempunyai janji temu didapati beratur tanpa mematuhi penjarakan fizikal dengan alasan mereka tidak tahu berkaitan SOP PPN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, pasukan pemantauan memberikan penerangan dan panduan kepada warga asing itu agar mematuhi penjarakan fizikal. Mereka turut diberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka mengulangi perbuatan tidak mematuhi SOP PPN.

Bagaimanapun katanya, keadaan berjaya diatasi sepenuhnya setelah pasukan pemantau pematuhan BSJ dengan kerjasama ketua Balai Kota Kinabalu serta petugas yang lain mengarahkan orang ramai untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bermula pagi tadi, tular gambar dan video dalam media sosial menunjukkan orang ramai beratur panjang tanpa menghiraukan penjarakan fizikal di PPV SICC.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.