Warga emas rentas daerah cetus kluster baharu di Tongod

Lelaki warga emas dijangkiti COVID-19 yang merentas daerah bagi mendapatkan rawatan penyakit kulit mencetuskan Kluster Kampung Penangah.



KOTA KINABALU: Seorang petani warga emas dijangkiti COVID-19 yang merentas daerah bagi mendapatkan rawatan penyakit kulit mencetuskan kluster baharu di Tongod.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Kampung Penangah itu membabitkan warga emas berusia 76 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi dan masalah kulit.

"Kes indeks disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Penangah pada 17 Ogos lalu selepas mengalami simptom demam, batuk dan sakit kepala.

"Siasatan awal mendapati, pada 12 Ogos lalu kes indeks mempunyai pergerakan ke luar daerah (Sandakan) untuk mendapatkan rawatan penyakit kulit dan mula bergejala tiga hari selepas itu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Masidi berkata, siasatan seterusnya mengesan 14 kes positif dalam kalangan kontak rapat di sekitar kediaman kes indeks.


Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun
"Sehingga hari ini jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini adalah 35 kes, termasuk 15 kes baharu hasil saringan terhadap 76 individu," katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal mencatatkan kes empat angka.



"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan negeri, jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini sebanyak 2,638 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 121,956 kes.

"Sebanyak 16 kes kematian dilaporkan iaitu lapan kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Tawau, dua kes di Keningau manakala Penampang, Papar dan Putatan masing-masing mencatatkan satu kes," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.