4 warga asing cuba masuk perairan Tawau berjaya diusir

PENERANGAN: Anggota PPM memberi penerangan SOP COVID-19 sebelum mengusir bot tersebut.

TAWAU: Empat warga asing cuba masuk perairan negara berjaya diusir keluar di laut Haji Kuning, di sini kelmarin.


Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot penumpang di percayai menuju ke perairan Tawau di lokasi tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Ridzauddin Selamat berkata pasukannya mendapati terdapat lima individu termasuk juragan di dalam bot berkenaan.

“Hasil siasatan juragan bot tersebut membawa empat warga asing terdiri dua lelaki dan dua wanita berumur 23 hingga 38 tahun.

“Juragan terbabit adalah warga tempatan, manakala kesemua penumpang terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.


Katanya, kesemua mereka diberikan penerangan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sepertimana yang ditetapkan dalam perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.

“Bot tersebut kemudiannya diiring keluar dan diarah supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Menurutnya, Ops Benteng memberi fokus pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin (PTI) dan kemasukan warga asing berbanding tangkapan sebelum ini.

“Pendekatan itu diambil memandangkan antara punca peningkatan kes COVID-19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah disebabkan kemasukan warga asing.


“Kita melihat punca peningkatan kes kerana PTI yang ditahan bercampur dengan tahanan lain dan menyebabkan penularan berlaku sesama mereka.

Justeru, Ops Benteng kali ini mengambil pendekatan mengusir warga asing yang cuba memasuki sempadan perairan negara kita,” katanya.

Ridzauddin berkata masyarakat persisir pantai dan maritim diminta untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang jenayah di kawasan mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi whatsapp PPM Wilayah 4 Sabah ditalian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268,” katanya.

SOURCE: Utusan Borneo

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.