'Fahami maksud sebenar persekutuan Malaysia'

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mahu semua pihak benar-benar memahami maksud pembentukan persekutuan Malaysia, sejarah dan matlamatnya.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata perkara itu penting supaya maksud persekutuan yang dibentuk sejak 58 tahun lalu benar-benar difahami dan dilaksanakan mengikut pengertian berkenaan.

Katanya, banyak perkara yang berlaku sejak pembentukan Malaysia tidak menggambarkan persekutuan yang sebenar hingga menimbulkan rasa kecewa rakyat, khususnya di Sabah.

Beliau berkata, perkara itu perlu dibetulkan dan diperbaiki supaya persekutuan Malaysia benar-benar memenuhi aspirasi rakyat ketika Malaysia mula-mula dibentuk pada 16 September 1963.


"Ketika persekutuan memperingati pembentukan Malaysia, saya percaya adalah penting bagi semua pihak untuk merenungkan apa yang dimaksudkan dengan pembentukan persekutuan, sejarah dan matlamatnya.

"Malaysia secara rasmi dibentuk dan diisytiharkan pada 16 September 1963 yang mana Sabah, Sarawak dan Singapura disatukan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

"Pengisytiharan Malaysia pada waktu itu mengakui status kenegaraan Sabah, Sarawak dan Singapura yang mencerminkan aspirasi mereka pada awal proses pembentukan Malaysia.


"Namun, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menggambarkan pengisytiharan ini kerana ditandatangani pada 9 Julai 1963, bahkan sebelum proses pembentukan Malaysia selesai ketika Sabah dan Sarawak masih menjadi koloni British," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia.

Berikutan itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah percaya adalah wajar untuk mempersoalkan mengapa MA63 ditandatangani sebelum proses pembentukan Malaysia selesai dan mengapa ia tidak pernah dipinda.


Beliau turut mempersoalkan adakah Sabah dan Sarawak disatukan dengan Tanah Melayu secara keseluruhan atau dengan negeri individu di Tanah Melayu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Sekiranya kita ingin maju sebagai sebuah persekutuan, adalah amat penting masalah atau anomali ini dapat diselesaikan kerana kita tidak mahu menjadi jajahan Tanah Melayu," katanya.


Atas sebab itu, Jeffrey berkata beliau sekali lagi menegaskan bahawa kemerdekaan Sabah dan Sarawak, yang tidak didedahkan ketika pembentukan Malaysia, dikembalikan ke dalam sejarah persekutuan agar sejarah menjadi lengkap.

"Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, manakala Sabah pula pada 31 Ogos 1963.

"Tarikh 16 September adalah perayaan bagi perkongsian ini, bukan pengambilalihan kolonial. Sabah dan Sarawak tidak menjadi sebahagian daripada Malaysia. Sebaliknya, kita mengasaskan Malaysia bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.

"Lebih penting lagi, kita tidak boleh mengelirukan Tanah Melayu dengan Malaysia. Malaysia adalah persekutuan baharu yang ditubuhkan pada 1963, bukan pada 1957," katanya.

SOURCE: Bharian

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

أحدث أقدم