Kedah Dapat RM78 Juta Bantuan Banjir, Tapi Sabah Hanya RM2 Juta, Soal MP Kota Kinabalu

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, Sabah sepatutnya mendapat bantuan banjir lebih banyak sebagai layanan ‘adil’ daripada kerajaan persekutuan.


KOTA KINABALU: Seorang Ahli Parlimen pembangkang Sabah menyelar kerajaan persekutuan memberikan peruntukan RM18 juta untuk bantuan bencana di negeri itu berbanding RM78 juta bagi membantu mangsa banjir di Kedah bulan lalu.

Malah katanya, hanya RM2 juta daripada RM18 juta peruntukan itu akan diagihkan bagi membantu mangsa banjir di Sabah.


Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dari DAP berkata, keputusan Putrajaya itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah selepas warganet membandingkan peruntukan yang diberikan kepada negeri itu dan Kedah.

“Cukup memalukan, sebagai hadiah sempena Hari Malaysia kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chan, Phoong dan Tan bertemu Jeffry Kitingan dan Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah.


“Kedah adalah negeri kecil, tetapi menerima peruntukan RM78 juta. Sebagai perbandingan, Sabah yang lebih besar hanya diberikan RM18 juta,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan RM18,241,250 akan disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Sabah.

Katanya, wang itu antara lain untuk urusan perolehan 2,000 unit kit makanan berjumlah RM160,000, pembelian 2,500 unit C-tent (RM961,250), operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000), operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1.1 juta) dan pengurusan operasi Covid-19 di Sabah (RM16 juta).

Bulan lalu, Ismail mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM78 juta untuk membantu mangsa banjir di Kedah, dengan keutamaan untuk membaiki infrastruktur dan bantuan tunai segera kepada penduduk yang kediamannya rosak.

Dalam tindakan umum pertamanya selepas menjadi Perdana Menteri, Ismail berkata, dana terbabit juga akan digunakan untuk membaiki saliran air dan sungai di Yan serta Merbok, termasuk membina empangan, selain membantu petani padi yang kehilangan hasil dalam banjir berkenaan.


Mengulas lanjut, Chan berkata, RM16 juta daripada RM18 juta yang disalurkan kepada Sabah itu untuk operasi Covid-19.

“Ini bermakna kurang daripada RM2 juta akan digunakan untuk bantuan banjir, dengan sebahagian besar (RM1.1 juta) bagi kos operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana.”

Beliau berkata, Ismail turut menyatakan RM3 juta daripada RM78 juta yang diberikan kepada Kedah untuk membaik pulih rumah dan kerosakan lain dialami mangsa banjir di negeri itu.

“Kedah mendapat RM3 juta untuk membaiki rumah dan kerosakan lain. Jumlah ini sahaja sudah melebihi jumlah keseluruhan peruntukan bukan berkaitan Covid-19 yang diumumkan untuk Sabah.

“Adakah ini sebahagian daripada layanan ‘adil’ daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah? Adakah ini yang kita dapat, walaupun kerajaan negeri menyokong Putrajaya?” soalnya.

Chan berkata, beliau turut mendapati kerajaan persekutuan hanya memperuntukkan RM500,000 kepada Sabah bagi kegunaan kerja baik pulih kecemasan tidak dijangka sebelum dan selepas banjir.


Maklumat berkenaan terkandung dalam jawapan kepada soalannya yang dikemukakan di Parlimen Khamis lalu.

“Jadi, apa yang diumumkan Ismail semalam adalah ‘tambahan’ kepada Sabah selepas pantai barat negeri ini mengalami banjir besar sebelum sambutan Hari Malaysia.

“Jika tiada kunjungan PM ke Sabah sempena sambutan Hari Malaysia, adakah rakyat Sabah akan menerima tambahan RM18 juta itu?” soalnya. – FMT

SOURCE: FMT

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.