Perodua Myvi Dihanyut Arus Ditemukan

Pasukan mencari dan menyelamat bersama penduduk melakukan operasi di Sungai Dambai, Inanam, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Sebuah kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama orang awam pada 7.20 pagi tadi.


Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kereta berkenaan ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi ia dilapor hanyut dan pada masa ini pasukan selam jabatan itu sedang menjalankan operasi pemulihan kenderaan terbabit.



Pasukan mencari dan menyelamat bersama penduduk melakukan operasi di Sungai Dambai, Inanam, Kota Kinabalu pada Sabtu. Menurut kenyataan itu pasukan bomba masih dalam usaha mencari dua lelaki mangsa kejadian iaitu pemandu kereta bernama Simon Sanga Tupe, berusia 68 tahun dan seorang penumpang dikenali sebagai Juning, 30.


“Anggota pasukan selam ada menemukan petanda mangsa berada di dalam kereta itu, bagaimanapun operasi masih dijalankan ketika ini dan pasukan sedang mendapatkan pengesahan,” menurut kenyataan itu.


Semalam tular video kejadian kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang. – BERNAMA



Post a Comment

أحدث أقدم