Wilfred Madius Tangau berkata pengumuman Shafie sebelum ini yang mengatakan Warisan kini adalah ‘PH minus’ juga tidak akan menjejaskan hubungan antara dua parti itu. |
KOTA KINABALU: Presiden Upko Wilfred Madius Tangau berkata, penyertaan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) bukan bermakna bermakna mereka sudah ‘berpisah’ dengan Warisan.
Katanya, beliau dan Presiden Warisan Shafie Apdal sebelum ini sentiasa berbincang dalam banyak perkara dan kerjasama itu akan diteruskan walaupun Upko kini bersama PH.
Beliau berkata, pengumuman Shafie sebelum ini yang mengatakan Warisan kini adalah ‘PH minus’ juga tidak akan menjejaskan hubungan antara dua parti itu.
”Saya tidak berkesempatan untuk bertanya kepada Shafie apa maksud ‘PH minus’ atau ‘Warisan minus’ itu, tetapi Pengerusi PH Sabah, Christina Liew telah berjumpa dengan beliau (Shafie) dan menjelaskan ‘PH minus’ atau ‘Warisan minus’ bermaksud mereka akan bergerak sendiri.
”Bagaimanapun saya telah berbincang dengan Christina dan beliau memberitahu semuanya, jadi tidak perlulah saya minta penjelasan lagi (dengan Shafie) sebab itu sudah cukup jelas. Kita (Upko dan Warisan) sama-sama dalam blok pembangkang, bukan bererti Upko sekarang dalam PH kita sudah berpisah. Kita masih bekerjasama.
”Seperti baru-baru ini, apabila kita mahu menandatangani SD (akuan berkanun) untuk memilih Perdana Menteri, saya bersama-sama dengan Shafie, Tun Mahathir (Mohamad) dan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman), kami sama-sama berbincang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam webinar Aspirasi Upko Bersama PH yang diadakan menerusi sidang Zoom, sebentar tadi.
Sementara itu dalam webinar berkenaan juga, Madius turut mendedahkan bahawa sebelum ini Upko, Warisan dan PH Sabah pernah berbincang untuk membuat satu struktur politik baharu tetapi ia tidak menjadi kenyataan.
Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden Warisan Plus ketika itu yang dihadiri pemimpin daripada ketiga-tiga parti politik berkenaan.
”Saya ingin nyatakan pada malam ini, sebenarnya dalam majlis presiden Warisan Plus pada ketika itu, sudah pun dicadangkan supaya kita membuat satu struktur untuk kita bersama membabitkan Upko, Warisan dan PH tetapi tidak berjaya, cuma sampai di situ saja,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, Upko akan meneruskan kerjasama dengan Warisan sebagai pembangkang lebih-lebih lagi Shafie merupakan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
”Bagi saya Shafie pemimpin lebih senior, lebih arif dari segi politik dan lebih lama berbanding saya dalam politik tetapi soal kerjasama itu ianya akan berterusan.
”Dalam DUN, dia (Shafie) ketua pembangkang dan ADUN kita (Ewon Benedick) bersama-sama dengannya, itu semangat yang kita mahu,” katanya. – FMT
إرسال تعليق