Wartakan 31 Ogos Sebagai ‘Hari Sabah’, Kerajaan Negeri Diberitahu

Ahli politik veteran Sabah, Mohd Noor Mansoor

KOTA KINABALU: Ahli politik veteran Sabah, Mohd Noor Mansoor, mencabar pimpinan kerajaan negeri supaya bertindak lebih berani dan segera mewartakan Hari Sabah sebagai memperingati kemerdekaan negeri itu pada 31 Ogos 1963.

“Jika Sarawak berbangga menyambut 22 Julai setiap tahun sejak 2016 sebagai Hari Sarawak, mengapa kita tiada Hari Sabah?” katanya dalam kenyataan hari ini, memperingati sambutan Hari Sabah Ke-58, semalam.


Sambutan disiarkan secara langsung dalam platform maya oleh Parti Progresif Sabah (SAPP) di ibu pejabat parti berkenaan, di sini.

Seramai 300 peserta membabitkan kepemimpinan dan ahli SAPP serta Parti Solidariti Tanah Air (STAR) mengambil bahagian dalam sambutan maya itu, yang turut disertai aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada Julai lalu, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan, yang juga Presiden STAR, berkata Hari Sabah dijangka disambut secara rasmi bagi kali pertama bermula tahun depan.

Presiden SAPP Yong Teck Lee (kanan) dan pimpinan tinggi parti lain mengikuti sambutan Hari Sabah siaran langsung secara maya di Kota Kinabalu, semalam. – Foto SAPP
Katanya, beliau sudah menyiapkan kertas Kabinet bagi mewartakan Hari Sabah, yang memang sebelum ini menjadi majlis tahunan disambut parti terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Noor, yang juga bekas menteri kewangan di bawah kerajaan Berjaya, turut mengingatkan peserta bahawa Malaysia terbentuk sejak 58 tahun lalu pada 16 September 1963.


Sambil mengimbau kembali detik berkenaan pada 31 Ogos 1963, beliau berkata Gabenor Borneo Utara (Sabah) William Goode, mengeluarkan kenyataan sempena Hari Sabah, iaitu berkerajaan sendiri dan merdeka daripada penjajahan British.

Kitingan, dalam ucapannya optimis Hari Sabah akan diwartakan, sekali gus menjadi sambutan rasmi negeri bermula tahun depan.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang kepada Sabah pada masa depan dan melonjakkan status Sabah,” katanya.

Kitingan berkata, Ketua Menteri Hajiji Noor dan barisan Kabinet negeri secara prinsipnya “kesemuanya bersetuju” dengan cadangan mewartakan Hari sabah sebagai acara sambutan rasmi negeri.


Katanya, kertas cadangan akan dimuktamadkan dan dibentangkan dalam Kabinet untuk tindakan seterusnya.

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata beliau juga meletakkan harapan tinggi Hari Sabah akhirnya menjadi realiti.

Bekas ketua menteri itu turut menyatakan keterujaannya terhadap reaksi positif rakyat Sabah, badan korporat dan pimpinan politik yang memulakan tanda pagar #SabahDay dalam media sosial.

“Saya berharap, kita akan menyambut hari bersejarah itu dalam skala lebih besar di seluruh Sabah,” katanya. – FMT

Post a Comment

أحدث أقدم