Vaksinasi untuk remaja di Sabah dijangka bermula Oktober

Vaksinasi untuk remaja di Sabah dijangka bermula Oktober

KOTA KINABALU: Vaksinasi untuk golongan remaja berumur 17 tahun ke bawah di negeri ini dijangka bermula pada Oktober depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu akan dimulakan selepas jumlah vaksinasi bagi populasi dewasa mencapai 80 peratus di negeri ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih berpegang dengan sasaran 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksin pada akhir September ini dan 80 peratus lengkap vaksinasi penghujung Oktober depan mengikut sasaran nilai ambang yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan perkara itu pada Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah pada Isnin. - Jabatan Penerangan
"Komitmen kerajaan Persekutuan untuk menghantar sejumlah 2.89 juta dos vaksin bulan ini ke Sabah dan kita yakin dengan penghantaran lebih banyak dos vaksin ini akan meningkatkan kadar vaksinasi harian di negeri ini.

"Kita juga akan memperbanyakkan program jangkauan luar sebanyak 130 program untuk bulan ini dan Oktober depan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

"KKM tidak hanya bergantung kepada program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), namun turut menumpukan kepada usaha keluar dengan melaksanakan program jangkauan luar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selepas mengadakan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 300,000 dos vaksin CanSino dijangka tiba di Malaysia bermula minggu hadapan dan penghantaran vaksin CanSino ke Sabah akan diutamakan.

Selain itu, pihaknya juga masih menjalankan pemantauan genomik berhubung varian delta dan lambda di seluruh negara.

"Kita turut memperuntukkan satu bajet tambahan kepada KKM dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk membuat pemantauan genomik secara berterusan.

"Ini kerana kita dimaklumkan di Filipina sudah ada varian lambda dan kita khuatir sempadan antara Malaysia dan Filipina terutama Sabah kerana kita tidak mahu varian terbabit sampai ke sini," katanya.

Khairy berkata, kerajaan turut mengambil langkah proaktif untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui beberapa inisiatif.

"Ia termasuklah menggunakan teknologi digital dalam pengurusan respons pandemik COVID-19 dan mempertingkatkan kapasiti makmal bagi ujian pengesanan COVID-19.

"Kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti kesihatan awam dan fasiliti perawatan secara berterusan selain mempergiat vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," jelasnya.

Beliau berkata, strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk di Malaysia bagi memastikan peralihan ke fasa endemik dapat dijalankan dengan lancar dan selamat.

Menurutnya, lebih ramai penduduk divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, sekali gus mengurangkan tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara, seterusnya lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat.

Kongsikan artikel ini:


***Jangan lupa langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.