'Cuma coklat dan gula-gula murah di Labuan' - Bung

Picture
Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto NSTP
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta memulangkan Labuan kepada Sabah jika tidak berminat untuk membangunkan ekonomi di wilayah itu.



Desakan itu dibuat Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mendakwa Labuan tidak lagi menjadi lokasi tarikan orang ramai susulan kerencatan aktiviti ekonomi.

Beliau menyifatkan pembangunan Labuan ketika ini seolah-olah 'diserang garuda' apabila hanya 'coklat dan gula-gula' saja yang dijual pada harga murah di wilayah bebas cukai itu.

Rentetan keadaan itu, katanya, rakyat Labuan dikatakan menderita kerana tiada aktiviti ekonomi boleh dipertingkatkan bagi menjana pendapatan harian mereka.


"Tolonglah bangunkan dan kembalikan status Labuan sebagai bebas cukai. Kalau tidak dilaksanakan apa-apa oleh kerajaan Persekutuan, maka kembalikanlah Labuan kepada Sabah.

"Biar kami (Sabah) bangunkan jika kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan tidak lagi boleh melihat Labuan sebagai wilayah perlu dibangunkan kerana ekonominya ketika ini bukan lagi suatu tarikan.


"Dulu, ramai rakyat Sabah ke Labuan kerana barang dijual dengan murah, tetapi kini hanyalah coklat dan gula-gula, yang lain semuanya mahal," katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut meminta kerajaan Persekutuan memberi autonomi kepada Sabah untuk menguruskan dana pembangunan dan ekonomi bagi memastikan negeri itu terkeluar daripada garisan kemiskinan.

Selain itu, katanya, kerajaan Persekutuan perlu mengubah pendekatan dalam pelaksanaan pembangunan ekonomi berpandukan negeri dan wilayah.


"Kita sama-sama kerajaan, selama 58 tahun Sabah masih miskin, kenapa? Kerajaan Persekutuan harus reda untuk memastikan wilayah Sabah pun membangun seperti di Semenanjung.

"Kerajaan bertukar ganti tetapi Sabah masih mundur dan terus miskin, maka kami minta beri autonomi untuk mengurus ekonomi dan pembangunan Sabah sendiri," katanya.

SOURCE: Berita Harian

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.