Resort eko-pelancongan mewah bernilai RM1 bilion dirancang di Pulau Mengalum

Picture
KUNJUNGAN: Hajiji (empat kiri), Chou (tengah) dan Joniston (tiga kiri) merakamkan kenangan selepas menerima kunjungan hormat wakil syarikat berkenaan.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


Syarikat hartanah terbesar Taiwan rancang labur RM1 bilion untuk pelancongan Pulau Mengalum

KOTA KINABALU: Syarikat hartanah terbesar Taiwan Sinyi Realty Group merancang untuk membuat pelaburan lebih RM1 bilion untuk pelancongan di Pulau Mengalum dekat sini.

Picture
Pulau Mengalum - tempat menarik di Sabah yang digelar sebagai "Maldives of Malaysia". Air lautnya amat jernih. Pantai putih melepak. Tak ramai orang ke sini disebabkan oleh kedudukannya yang agak jauh (56km dari KK, 1 jam hingga 1.5 jam perjalanan menaiki bot laju).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik rancangan syarikat berkenaan untuk membina sebuah resort eko-pelancongan bertaraf 5 bintang yang mewah di Pulau Mengalum.

Menurutnya, pelancongan sangat penting bagi Sabah dan sektor berkenaan juga dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Beliau turut gembira kerana syarikat hartanah terbesar Taiwan itu memilih Sabah untuk pelaburan mereka.

"Sabah adalah salah satu negeri paling cantik di Malaysia dan banyak yang kami tawarkan daripada aspek pelaburan dalam sektor pelancongan," katanya.


Hajiji berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada wakil Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu di sini semalam.

Sejajar dengan Hala Tuju SMJ, Hajiji memberi jaminan kepada Kumpulan Sinyi bahawa kerajaan negeri akan memberi bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan mereka di negeri ini.

Picture
Satu untuk album ... Hajiji (empat kiri) dengan Chou Chun Chi (lima kanan) dan rombongannya setelah kunjungan hormat.

Terdahulu, Pengerusi Kumpulan Sinyi Chou Chun Chi merakamkan terima kasih kepada Hajiji dan kerajaan negeri atas sokongan terhadap usaha yang akan dilaksanakan pihaknya.

Katanya, pembangunan di Pulau Mengalum akan menarik pasaran pelancongan yang serba mewah.

"Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan diharapkan dapat membawa sekitar 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun," katanya.


Selepas memperoleh lebih daripada separuh pulau berkenaan dengan harga RM266 juta pada 2019, Kumpulan Sinyi merancang untuk memulihkan bahagian pulau yang terbiar dengan perhutanan semula.

Syarikat terbabit juga merancang untuk memulihkan terumbu karang di sekitar Pulau Mengalum yang rosak akibat penggunaan bom ikan.


Pulau Mengalum sebelum ini pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga 1997. Sebelum penularan pandemik COVID-19, pulau berkenaan yang terletak lebih sejam perjalanan dengan kapal dari ibu negeri amat popular dalam kalangan pelancong China.

Turut mengiringi Chou dalam kunjungan hormat itu Naib Pengerusi Kumpulan Sinyi Chou Wang Mei Wen; Pengurus Besar Chow Kok Yein; Pengurus Kanan Tann Chung Yong; dan Pengurus Projek Chou Chun Hao.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) turut hadir sama semasa kunjungan itu.

SOURCE: Utusan Borneo

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.