Lalu lintas padat di Jalan Lintas Luyang Kota Kinabalu pada 1 Oktober selepas perjalanan antara daerah mengkut 5 Zon dibenarkan. Sabah mungkin tidak membenarkan perjalanan antara negeri walaupun Putrajaya memberikan lampu hijau. (Gambar Bernama)
Sabah tidak benar rentas negeri dalam tempoh terdekat
KOTA KINABALU: Mengambil kira kadar vaksinasi yang masih rendah, pergerakan rentas negeri mungkin masih tidak dibenarkan di Sabah dalam tempoh terdekat.Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran rentas negeri akan dipertimbangkan sebaik sahaja kadar vaksinasi populasi dewasa di Sabah mencapai tahap yang munasabah.
“Kita akan mempertimbangkan (rentas negeri) apabila kita mencapai kadar vaksinasi penduduk yang munasabah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setakat semalam, seramai 2.06 juta atau 74.8 peratus penduduk dewasa Sabah telah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, seramai 1.85 juta atau 67.4 peratus penduduk dewasa menerima vaksin yang lengkap.
Justeru, pergerakan di Sabah akan kekal mengikut sistem zon seperti yang dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu..
Ketika ini, pergerakan rentas daerah di Sabah dibahagikan kepada lima bagi daerah-daerah yang sudah mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.
Sementara itu, tujuh daerah tidak dimasukkan dalam zon dan kekal sebagai daerah persendirian kerana kadar vaksinasi penduduk dewasa belum mencapai 60 peratus. Ia termasuk Kinabatangan, Telupid, Sandakan, Tawau, Semporna, Papar dan Nabawan.
Hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan Sabah satu-satunya daerah yang belum mencapai unjuran 80 peratus penduduk dewasa divaksin. Maka, program jangkauan luar (outreach) akan diperhebatkan di Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan kebenaran rentas negeri akan diumumkan sebaik negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.
Berdasarkan laman Covidnow, seramai 20.78 juta atau 88.8 peratus penduduk dewasa telah divaksin di Malaysia setakat semalam.
Perkembangan ini memberi gambaran awal bahawa sasaran 90 peratus boleh dicapai sekurang-kurangnya pada minggu ini.
Namun, walaupun terdapat sedikit peningkatan di Sabah, Masidi mengatakan 93.78% kes hari ini merangkumi pesakit Kategori 1 dan 2 yang biasanya hanya melibatkan pengawasan rumah atau pengasingan di pusat kuarantin.
"Hanya ada 4 kes di bawah Kategori 3 dan 2 di bawah Kategori 4, tanpa pesakit di bawah Kategori 5," kata Masidi.
SOURCE: Utusan
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق