Sabah tangguh SST produk makanan laut

Kerajaan Negeri tangguh SST produk makanan laut



KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) sehingga keadaan ekonomi bertambah baik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan juga akan menjalankan kajian lanjutan mengenai keadaan ekonomi di Sabah, terutama sekali situasi semasa industri perniagaan di wilayah ini.

"Kerajaan ambil maklum dan prihatin akan maklumbalas peniaga, terutama daripada industri makanan laut, terhadap pelaksanaan SST.

"Kerajaan juga memahami kebimbangan mereka dan adalah tidak adil memberikan tekanan tambahan terhadap sektor swasta pada masa ini.

"Oleh itu, sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan, kementerian saya telah membincangkan situasi ini dengan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan serta memutuskan bahawa walaupun kita tidak dapat membatalkan cukai itu, pelaksanaan cukai ini ditunda serta merta ke satu tarikh yang akan diumumkan nanti," katanya dalam sebuah kenyataan di sini, semalam.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan
Beliau berharap penangguhan cukai penjualan ke atas industri eksport makanan laut akan memberi ruang bernafas bagi pemain industri.

Beliau juga menambah bahawa kerajaan akan sentiasa menyokong sektor swasta kerana sektor ini merupakan tulang belakang ekonomi Sabah dan penyumbang peluang pekerjaan terbesar di wilayah ini.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.