SABAH RHINOS MENANG, DIOUF MASIH BERBISA
EL HADJI DIOUF mula membuktikan betapa dia masih seorang penyerang digeruni apabila bukan saja mempamerkan aksi menarik malah turut meledak gol untuk Sabah dalam aksi persahabatan menentang Sarawak di Stadium Likas, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Sabah Rhinos menumpaskan Ngap Sayot dengan jaringan 2-1 walaupun ketinggalan 1-0 di separuh masa pertama.
Pasukan pelawat lebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila mendahului pada minit ke-17 hasil jaringan Ashri Chuchu.
Bagaimanapun, kemasukan Diouf bersama penyerang import dari Libya, Eamon Zayed di separuh masa kedua berjaya mengubah rentak permainan Sabah Rhinos yang dilihat lebih garang dengan beberapa serangan menarik.
Diouf tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol sulungnya bersama Sabah apabila berjaya menyudahkan hantaran pemain import dari Brazil, Andrezinho Esposito menerusi tandukan, hanya enam minit selepas babak kedua bermula.
Beraksi di hadapan lebih 6,000 penyokong, Diouf terus menunjukkan aksi menarik di separuh masa kedua apabila bertindak sebagai perancang utama Sabah di barisan serangan.
Serangan demi serangan dilakukan Sabah akhirnya berbaloi apabila bekas pemain kelahiran Keningau, Maxsius Musa meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-70.
Gol itu tercetus selepas penjaga gol Sarawak gagal menangkap kemas cubaan Zayed lalu disudahkan dengan baik oleh Maxsius bagi menjadikan kedudukan 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Secara keseluruhan, beberapa pemain tempatan serta pemain import tempatan turut menunjukkan aksi baik walaupun bermula hambar di awal perlawanan.
Perlawanan persahabatan itu adalah perlawanan kompetitif buat George O’Callaghan sejak dia mengambil alih tugas sebagai pengurus pasukan beberapa bulan lalu.
Sabah akan meneruskan pra-musim mereka di China dengan menyertai satu kejohanan pendek di Yunnan.
إرسال تعليق