Perdana Menteri setuju tubuh jawatankuasa kaji hak Sabah - Anifah Aman

Alhamdullillah, memorandum yang dihasilkan melalui dua Seminar "Pembentukan Malaysia" di UMS awal tahun ini telah diserahkan bersama kepada PM oleh Dato Anifah Aman, Dr Jeffrey Kitingan dll. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata jawatankuasa khas bagi mengkaji hak Sabah akan mengkaji secara terperinci beberapa isu lain, terutama hak kewangan daripada royalti minyak dan gas, yang kali terakhir dibayar kepada negeri itu pada 1974.

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



PM setuju tubuh jawatankuasa kaji hak Sabah, kata Anifah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji hak Sabah menerima 40% daripada hasil bersih yang dipungut Kerajaan Persekutuann daripada negeri itu, kata Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji secara terperinci beberapa isu lain, terutama hak kewangan daripada royalti minyak dan gas, yang kali terakhir dibayar kepada negeri itu pada 1974.

Anifah, yang juga Menteri Luar, bagaimanapun tidak menyatakan siapakah yang akan menganggotai jawatankuasa itu dan bilakah ia akan ditubuhkan.

"Jawatankuasa ini amat diperlukan kerana 'orang luar' sedang cuba meracuni fikiran generasi muda dan mendakwa apabila Malaya mengambil alih, ia juga mengambil alih harta negeri itu.

"Perkara ini semakin meningkat momentumnya dan kami rasa kami (rakyat Sabah) perlu menanganinya dengan mengetepikan kedudukan politik kami. Di samping itu, kami memang layak mendapat hak itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Najib di Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.

Perjumpaan itu turut dihadiri Pengerusi Parti Pembaharuan Negeri (STAR) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bekas ketua Cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah, setiausaha agung Parti Kerjasama Rakyat Sabah (Pakar), Zainnal Ajamain dan peguam perlembagaan, Edmund Bon.

Anifah berkata: "Hak 40 peratus bagi Sabah itu merupakan suatu tuntutan sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah hak kami dan kami berhak mendapatnya."

Kitingan mendakwa Sabah berhak mendapat semua bayaran tertunggak bagi 40% bayaran itu sejak 1975, yang kali terakhir dibayar pada 1974 kerana ia termaktub dalam Jadual Ke-10 Perlembgaan Persekutuan.

Pada 17 Jun lepas, Kitingan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bingkor, meminta Kerajaan Sabah menghantar surat kepada Kerajaan Pesekutuan bagi menuntutnya membayar lebih RM100 bilion faedah kompaun terkumpul, yang perlu dibayar sejak 1975.

Bayaran lebih RM100 bilion itu tidak termasuk penambahan lima peratus bayaran tunai atau royalti minyak kepada 20% seperti yang dituntut Kerajaan Sarawak dan dalam kes Sabah, ia perlu ditambah RM3.45 bilion lagi setahun.

Bayaran lebih RM100 bilion itu termasuk 95 peratus hasil minyak dan gas yang dipungut Kerajaan Persekutuan di Sabah, manakala komponen minyak dan gas sahaja boleh mencecah RM8.72 bilion berdasarkan perangkaan dalam Bajet 2015. – Bernama, 15 Julai, 2015.

Beza antara parti-parti pembangkang tempatan Sabah dan parti-parti pembangkang Malaya yang bertapak di Sabah ialah, keinginan untuk melihat hak Sabah ditunaikan sama ada melalui pilihanraya atau melalui rundingan.

Ada yang kata tindakan itu mematikan parti-parti tempatan Sabah. 

Andaian itu amat dangkal kerana HAK Sabah perlu diangkat dan diperjuangkan di mana saja ada kesempatan. Itu memang HAK Sabah dan jika ia ditunaikan sekalipun, tidak bermakna terus bersekongkol dengan UMNO/BN.

Soal politik, namanya sudah pembangkang, pasti UMNO/BN tetap akan dilawan habis-habisan kerana kita juga perlu mewujudkan kerajaan persekutuan yang bersih, berintegriti dan adil. 

Maka dua aspek perjuangan ini tetap selari iaitu Perjuangan HAK Sabah dan Perjuangan Meruntuhkan Kerajaan Yang Korupsi, Lemah Tadbir Urus, Gagal Ekonomi dan Tiada Integriti.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم