KENINGAU : Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 116 jalan Sepulut – Kalabakan kira-kira pukul 6.30 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Douglas Nyeging Taong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa, Aisa Rabbayani, 32, maut di tempat kejadian selepas tercampak dan dihempap kenderaan yang dinaikinya yang terbabas di bahu jalan bertentangan.Katanya, semasa kejadian mangsa bersama seorang lagi penumpang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Ali Bakar, 55, dalam perjalanan dari penjara Tawau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam kejadian itu katanya, mangsa yang dihempap kenderaan dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Nabawan sementara seorang lagi penumpang Aminah Samirah Ali yang hanya mengalami cedera dibawa ke hospital Keningau untuk rawatan. “Hasil siasatan awal mendapati kenderaan tersebut terbabas dan hilang kawalan kerana jalan basah dan licin.
Semasa kejadian hujan lebat dan jarak penglihatan agak terhad dan jalan selekoh dan garisan berkembar” ujarnya sambil menambah mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)APJ 1987.
إرسال تعليق