SHAH ALAM: Nur Amirah Athirah Abdul Majid, 14, yang sebelum ini mendakwa diculik dua lelaki di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Ahad lalu, ditemui selamat di Banting, malam semalam.
Ketika ditemui, gadis itu berada di depan sebuah stesen minyak di Banting bersama-sama seorang pemuda, dipercayai teman lelakinya, kira-kira jam 8 malam tadi.Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, yang dihubungi sebentar tadi berkata, mereka ditemui dalam sebuah kereta oleh sepasukan polis yang menjalankan operasi menjejaki gadis itu.
"Kita berjaya menjejakinya sejak tengah hari semalam dan mengekorinya hingga ke Putrajaya sebelum menahan kedua-duanya di depan stesen minyak terbabit malam tadi," katanya.
"Remaja itu ditemui bersama seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di dalam sebuah kereta di hadapan stesen minyak di Kanchong Darat, Banting.
"Soal siasat ke atas remaja itu menunjukkan mangsa sengaja mereka cerita kononnya dia telah diculik dengan tujuan untuk hidup bebas daripada keluarga," katanya. Beliau berkata mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kehilangan Nur Amirah disedari ibunya Asmah Mamai, 33, petang Ahad lalu selepas wanita itu pulang dari kedai kira-kira jam 2 petang. Ibu mangsa kemudian cuba mencarinya di kawasan sekitar serta menghubungi anaknya namun gagal sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman Isnin lalu.
إرسال تعليق