TAWAU: Kira-kira 500 penduduk di Kampung Airport Lama di sini, hilang tempat tinggal akibat kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 rumah setinggan, pagi tadi.
Kebakaran disedari kira-kira jam 9.30 pagi dan merebak dengan cepat berikutan struktur binaan daripada kayu yang mudah terbakar selain cuaca berangin.Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penguasa Kanan Bomba II Ismaidi Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.41 pagi.
Beliau berkata, enam jentera bersama tiga kenderaan utiliti dengan kekuatan tiga pegawai dan 25 anggota bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 9.44 pagi.
Katanya, api dapat dikawal pada jam 11.10 pagi tadi dan bomba masih meneruskan operasi memadam kebakaran.
"Kita berdepan masalah memadam kebakaran di kawasan ini kerana tiada sumber air.
Bomba terpaksa menggunakan pili bomba di masjid dan sekolah berhampiran," katanya.
Difahamkan, kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan masing-masing berikutan api merebak dengan cepat, manakala ada yang hanya dapat mengambil dokumen penting.
إرسال تعليق