Wanita maut jatuh dari tingkat enam
Pengunjung di pusat beli-belah Centre Point, di sini, gempar susulan penemuan mayat wanita tertiarap, dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan berkenaan, malam tadi.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa, Suzan Seah, 39, yang beralamat di Limbang, Sarawak, disyaki terjatuh dari tingkat enam sebelum ditemui oleh pengunjung dan pengawal keselamatan di bangunan berkenaan, selepas terdengar dentuman kuat.Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Alip, 22, berkata ketika kejadian dia baru saja keluar dari pintu pusat beli-belah berkenaan sebelum terdengar dentuman kuat.
“Saya sangkakan kayu yang terjatuh namun terkejut apabila melihat wanita dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di ruang kaki lima di luar bangunan berkenaan.
“Tidak pasti wanita itu terjatuh dari tingkat berapa... tapi keadaannya parah dan tangannya menggenggam kunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pengawal keselamatan yang turut berada berhampiran mayat itu segera memaklumkan kepada pengurusan bangunan berkenaan sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.
Pusat beli-belah Centre Point, Kota Kinabalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mangsa membunuh diri atau terjatuh.
“Siasatan masih dijalankan termasuk memeriksa kereta mangsa yang diparkir di tingkat 6.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” katanya.
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق