Kira-kira 300 sampel dari peniaga Pasar Besar Kota Kinabalu diambil dalam pelaksanaan ujian saringan COVID-19 yang dibuat selama dua hari bermula semalam.
Pengambilan sampel turut membabitkan peniaga pasar ikan serta pekerja Sabah Fish Marketing (SAFMA).Pelaksanaan ujian itu mendapat respon baik dalam kalangan peniaga malahan ramai yang mahu menjalani pemeriksaan secara sukarela.
Peniaga Pasar Besar Kota Kinabalu, Salmah Belan, 54, berkata mulanya dia agak takut apabila diberitahu perlu menjalani ujian saringan COVID-19 namun perasaan itu hilang selepas bertemu pegawai kesihatan bertugas.
"Saya ingat ujian ini mengambil masa lama tetapi kita hanya perlu mengisi borang sebelum anggota kesihatan mengambil sampel daripada hidung.
"Ujian saringan penting kepada orang awam khususnya peniaga di pasar ini kerana kita sering bertemu ramai pelanggan tanpa mengetahui keadaan kesihatan mereka.
"Apabila menjalani ujian ini, secara tidak langsung kita dapat mengetahui tahap kesihatan diri masing-masing," katanya sudah lebih 20 tahun berniaga barangan runcit di pasar berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Hariyati Samsul, 43, pendekatan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuat ujian saringan seperti itu di kawasan pasar secara tidak langsung membantu golongan peniaga berpendapatan kecil dan sederhana melakukan ujian terbabit.
"Ramai dalam kalangan peniaga di sini mahu membuat pemeriksaan seperti ini tetapi tidak tahu di mana.
"Kebanyakan peniaga hanya tahu ada klinik atau hospital swasta namun harganya terlalu mahal.
"Apabila jabatan kesihatan datang ke pasar ini, kita bukan hanya boleh membuat ujian saringan malahan maklumat berkaitan kesihatan," katanya.
إرسال تعليق