Ranau: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di 10 lokasi sekitar daerah Ranau, sempena Operasi Patuh Bersepadu, tengah malam tadi.
Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membabitkan 98 anggota dan pegawai.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam yang diterima bahagian penguatkuasaan JIM Ranau.
Katanya, antara lokasi serbuan adalah rumah kongsi tapak pembinaan Mesilou Golf Course, Jalan Desa Cattle, Kampung Mesilou dan Loji Tapak Pembinaan Tangki Air serta sekitar Pekan Kundasang.
“Selain itu, serbuan turut dijalankan di sekitar Kuarters Pekerja MRSM, Tanah Merah, Jalan Kompleks Ranau, Kampung Babukan, Jalan Pinousuk, Ranau.
Jonathan berkata, semua ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
Selain itu katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen Imigresen 1959/63 iaitu menggunakan dan memiliki apa-apa permit masuk, pas, dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan yang palsu.
“Objektif utama operasi ini dilaksanakan adalah nagi membenteras kehadiran PATI dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Perdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
“Tumpuan Operasi ini juga turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini,” katanya.
Jonathan berkata, tindakan akan diambil selaras dengan peruntukkan undang-undang tanpa kompromi.
Katanya, dalam pada itu, semua tahanan juga diarahkan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan di depot tahanan Imigresen.
“Ia seiring dengan Prosedur Operasi Standard(SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tegasnya.
Sementara itu, Jonathan berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 601 operasi sudah dijalankan JIM Negeri Sabah dan berjaya menahan seramai 1,061 PATI.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 34 orang majikan juga sudah didakwa manakala 1,739 orang tahanan warga asing sudah diusir balik ke negara asal.
“JIM Negeri Sabah ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya sejumlah PATI yang tidak mematuhi undang-undang.
“Saya menasihatkan masyarakat supaya tidak sesekali cuba melindungi PATI di negeri ini dan melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka,” katanya.
إرسال تعليق