KOTA KINABALU: Insiden kapal melanggar terumbu karang yang berlaku sejak tiga tahun kebelakangan ini memerlukan satu pendekatan baharu bagi menangani kemusnahan terumbu karang di perairan Sabah.
Kemusnahan terumbu yang menjadi penampan kepada ombak dan arus hanya akan mengakibatkan kawasan pesisir pantai terdedah kepada hakisan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ekologis Marin Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Zarinah Waheed berkata, satu protokol tindak balas kejadian kapal terdampar perlu diwujudkan bagi melindungi perairan marin di Sabah.
Beliau berkata, protokol ini boleh digunakan di kawasan taman perlindungan marin (MPA) dan juga kawasan bukan MPA bagi memastikan ekosistem marin di negeri ini sentiasa terpelihara.
“Protokol ini perlu melibatkan tinjauan segera bagi menilai kerosakan yang berlaku akibat pelanggaran terumbu karang dan diikuti dengan langkah segera untuk menyelamatkan serpihan batu karang yang masih hidup.
“Langkah-langkah pemulihan seperti meletakkan struktur tukun mungkin perlu bagi menstabilkan substrat batu karang terutama jika, substrat dalam keadaan hancur.
“Namun, usaha pemulihan harus praktikal dan sesuai dengan lokasi dan keadaan terumbu karang. Justeru, pemantauan berkala perlu dilakukan mengikut kaedah dan protokol yang ditetapkan untuk memastikan pemulihan terumbu berjalan dengan baik.
Kerja-kerja meninjau kerosakan terumbu karang di perairan Sabah . |
Zarinah dan rakan sejawatnya di BMRI UMS, Muhammad Ali Syed Hussein melihat impak pelanggaran terumbu karang bukan hanya terhad di lokasi pelanggaran tetapi kesan sampingan terhadap ekosistem marin disekeliling akan turut berlaku.
Kemusnahan struktur tiga-dimensi terumbu karang akan menjejaskan perkhidmatan ekosistem yang diberikan oleh terumbu karang tersebut. Malah, hidupan marin yang bergantung kepada struktur terumbu sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan akan kehilangan habitat.
Jelas Zarinah, proses pemulihan terumbu karang akan mengambil masa yang lama dan boleh menjangkau puluhan tahun. Ada kemungkinan ia tidak akan dapat kembali kepada keadaan asal kerana persekitarannya berubah akibat kemusnahan yang berlaku.
Mengulas lanjut katanya, tiga insiden pelanggaran terumbu karang telah dilaporkan di Sabah sejak 2006 dengan yhang pertama berlaku di Pulau Sipadan pada Mei 2006 iaitu semasa penghantaran bahan binaan yang menggunakan pengangkutan tidak sesuai dengan lokasi pendaratan dan satu lagi pada September 2019 di Kudat yang berlaku akibat masalah alat navigasi kapal.
Kejadian terbaru katanya, adalah di Pulau Mabul pada 24 Jun 2021 juga melibatkan penghantaran bahan binaan yang menggunakan pengangkutan tidak bersesuaian dengan lokasi pendaratan.
Ini kebiasaannya merupakan kes berprofil tinggi dan melibatkan kawasan yang mempunyai kepentingan ramai dan dilaporkan di dalam media massa atau media sosial.
Kejadian yang lebih kerap berlaku adalah melibatkan bot-bot yang lebih kecil yang melanggar kawasan terumbu semasa memasuki kawasan cetek.- UTUSAN ONLINE
إرسال تعليق