Satu lagi tempat hiburan KK Waterfront didenda

Tidak Serik! Keadaan pusat hiburan semasa diserbu pasukan polis, KKM serta DBKK dalam Ops Bersepadu.

33 termasuk pengurus, pelanggan pusat hiburan degil dikompaun


KOTA KINABALU: Tindakan degil pengurus sebuah pusat hiburan yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuatkuasa membawa padah selepas dikompaun RM25,000.

Malah empat pekerja serta 28 pengunjung pusat hiburan di Waterfront Anjung Samudera Jalan Tun Fuad Stephen di sini itu turut menerima nasib sama dengan dikompaun RM5,000 setiap seorang dalam Ops Bersepadu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata operasi yang bermula jam 9 malam itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Semasa serbuan dijalankan, keadaan muzik terpasang kuat manakala pengunjung sedang berhibur sambil minum minuman beralkohol dan tidak sempat melarikan diri dari premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis dikendalikan seorang pengurus, empat pekerja dan terdapat 12 lelaki serta 16 pengunjung wanita di dalam,” katanya.


SERBU: Keadaan pusat hiburan semasa diserbu pasukan polis, KKM serta DBKK dalam Ops Bersepadu.
Beliau berkata kegiatan terbabit melanggar serta mengingkari arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan iaitu menjalankan aktiviti pusat hiburan iaitu aktiviti yang dilarang sepanjang PKP.

Tambahnya kesemua pengunjung juga didapati tidak mengamalkan penjarakkan fizikal antara satu sama lain.


“Pemilik premis dan pelangan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 sebelum dikompaun di tempat kejadian oleh pihak polis dan KKM.

“Hasil pemeriksaan lesen juga mendapati premis hiburan terbabit melanggar syarat berniaga dengan menjalankan pusat hiburan dengan menggunakan lesen restoran kelas dua dan diberi kompaun oleh pihak DBKK,” katanya.


Tambahnya DBKK turut mengeluarkan kompaun mengikut Pub and Bar Lounge Premises By Laws 1984 dengan kadar maksimum disebabkan kesalahan menjalankan aktiviti pub dan bar tanpa lesen.

Sejak PKP 1.0 dilaksanakan premis hiburan ini sudah beberapa kali diserbu pihak polis serta pihak berkuasa tempatan kerana melanggar SOP termasuk beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan.



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.