Tahukah Anda Bahawa Sabah Pernah Menyertai Temasya Sukan Olimpik Sebagai Sebuah Negara?

Sukan Olimpik Melbourne 1956!

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)





Tahukah Anda Bahawa Sabah Pernah Menyertai Temasya Sukan Olimpik Sebagai Sebuah Negara? Siapa sangka bahawa negeri di bawah bayu yang anda kenali sekarang ini sebenarnya pernah menghantar wakil atlet ke temasya sukan tertua di dunia. Bukan di bawah nama Malaysia tetapi sebagai sebuah negara sendiri? Hebat kan?

Sabah atau pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai Borneo Utara (North Borneo) pernah menyertai temasya Sukan Olimpik sebagai sebuah negara sendiri untuk edisi tahun 1956 di Melbourne, Australia. Boleh dikatakan, Sabah merupakan sebuah negara kecil yang menyertai Sukan Olimpik dengan hanya menghantar 2 orang atlet sahaja ke temasya tersebut.

Sertai Sukan Olimpik sebagai salah sebuah negara protektorat

Pada waktu itu, Borneo Utara merupakan sebuah negara protektorat iaitu sebuah negara yang dilindungi dan dikawal oleh negara yang lebih besar serta tidak mempunyai raja berdaulat.

Borneo Utara merupakan sebuah negara protektorat di bawah lindungan Great Britain. Oleh sebab itu, jika anda perasan, bendera Borneo Utara mempunyai bendera kecil Great Britain di sudut kiri atasnya serta logo rasmi Gabenor Koloni Mahkota British Borneo Utara pada waktu itu.

Bendera ini diguna pakai oleh Borneo Utara bermula pada tahun 1948 sehingga tahun 1963 selepas Gabenor Koloni Mahkota British mengambil alih Borneo Utara daripada Syarikat Borneo Utara British.

Picture
Bendera Borneo Utara (Sabah) dari tahun 1948 sehingga 1963.

Sukan Olimpik Melbourne 1956 : Temasya Olimpik penuh kontroversi

Temasya Sukan Olimpik yang diadakan pada tahun 1956 itu juga bukanlah temasya biasa yang berjalan dengan lancar. Pelbagai kontroversi pernah menghurung temasya yang diadakan di Melbourne ini kerana ini merupakan kali pertama temasya Sukan Olimpik diadakan di luar benua Eropah dan Amerika Utara. Bukan itu sahaja, ramai yang tidak bersetuju Sukan Olimpik diadakan di sini kerana cuacanya yang sejuk, bertentangan dengan nama Sukan Olimpik musim panas.


Malah, kerajaan Australia pada waktu itu juga tidak mahu mengadakan acara berkuda ekuestrian di bumi Melbourne atas sebab peraturan kuarantin Australia yang sangat ketat. Oleh yang demikian, acara ini diadakan di Stockholm, Sweden.

Beberapa negara juga dilaporkan telah memboikot sukan tersebut atas pelbagai alasan. Misalnya, Mesir, Lubnan, Iraq dan Kemboja tidak menyertai temasya edisi ini kerana sebagai tanda protes ke atas Krisis Suez-Perang Kedua Arab-Israel.

Bukan itu sahaja, negara Sepanyol dan Switzerland pun tidak menyertai edisi ini sebagai tanda protes terhadap serangan Kesatuan Soviet sewaktu Revolusi Hungaria.

Walau bagaimanapun, sebanyak 67 buah negara tetap menyertai temasya tersebut dan salah satu daripadanya adalah Borneo Utara ataupun Sabah.

Picture
Gambar sewaktu temasya sukan yang melibatkan Borneo Utara suatu ketika dahulu.

Gabuh dan Sium, wira Borneo Utara

Pada temasya dengan penyertaan unik Borneo Utara tersebut, atlet bertuah yang pernah mewakili negara kecil tersebut adalah Gabuh Piging dan Sium Bin Diau. Gabuh pada ketika itu berusia 24 tahun manakala Sium baru berusia 21 tahun. Lebih membanggakan, Gabuh dan Sium merupakan dua orang lelaki pertama dari Sabah yang bertanding di Sukan Olimpik!


Walau bagaimanapun, kedua-duanya tidak berjaya untuk melayakkan diri ke peringkat akhir. Namun, pengalaman mewakili tanah air tercinta pastinya sesuatu yang manis dan besar buat kedua-dua atlet ini, apatah lagi mereka berdua berasal dari sebuah negara kecil yang pastinya tidak memiliki banyak kelebihan berbanding negara besar yang lain.

Picture
Datuk Gabuh Piging, atlet lompat kijang Olimpik Borneo Utara. Sumber : FB North Borneo Historical Society

Picture
Sumber : FB North Borneo Historical Society
Picture
Datuk Sium Bin Diau, wakil Borneo Utara ke Sukan Olimpik 1956. Kredit : FB North Borneo Historical Society

Barangan berharga berupa pin enamel, patch poket beserta logo dan jaket blazer berwarna merah milik kontinjen Borneo Utara sewaktu menyertai Sukan Olimpik Melbourne 1956 kini masih disimpan di Australian Gallery of Sport and Olympic Museum setelah didermakan oleh seorang individu bernama John Walne.


Berdasarkan rekod di laman sesawang galeri sukan dan muzium Olimpik Australia, pakaian dan aksesori khas ini digunakan oleh jurulatih kontinjen Borneo Utara dalam tempoh November sehingga Disember 1956.

Picture

Picture

Picture
Sumber : Australian Gallery of Sport and Olympic Museum

Peluang ‘rare’ sertai temasya Sukan Olimpik sebelum bergabung bawah Malaysia

Kesempatan menyertai Sukan Olimpik walaupun hanya sekali sebagai sebuah negara pastinya sesuatu yang manis dan menjadi sejarah yang tidak ternilai kepada negeri tersebut. Borneo Utara tidak menyertai Sukan Olimpik untuk edisi tahun 1960 kerana tiada wakil yang layak ke temasya tersebut. Identiti Borneo Utara kemudiannya lenyap setelah Sabah bergabung bersama Sarawak dan Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.


Akhirnya, untuk temasya Sukan Olimpik pada tahun 1964, atlet dari Borneo Utara atau dikenali sebagai Sabah menyertai temasya tersebut sebagai atlet negara Malaysia.

Disebabkan Borneo Utara hanya menyertai temasya tersebut sekali sahaja sebelum bergabung membentuk Malaysia, negara tersebut tidak pernah memenangi pingat memandangkan dua atlet yang dihantar tidak dapat melayakkan diri ke peringkat akhir. Borneo Utara juga tidak pernah menubuhkan Jawatankuasa Olimpik nya sendiri sebelum pembentukan Malaysia.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم