Proses vaksinasi di Dewan Masyarakat Sri Kunak. |
KUNAK: Sebanyak 10,000 dos vaksin jenis CanSino diperlukan untuk diberikan kepada penduduk bukan warganegara terutamanya komuniti Pala’u di daerah ini.
Pegawai Kesihatan Daerah Kunak Dr Izaidi Salman Yazid berkata komuniti Pala’u adalah sasaran utama untuk vaksin CanSino kerana gaya hidup mereka yang tinggal di pinggiran laut dan berpindah randah.
“Komuniti mereka dikesan berada di kawasan perairan Kampung Pangkalan, Kampung Kunak 3, Kampung Kunak Jaya dan Kampung Pangi.
“Bagi penduduk warga asing lain yang menetap di daratan seperti di kawasan ladang, saya fikir tidak menjadi masalah untuk diberikan vaksin dua dos,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.
Terdahulu, untuk daerah Kunak pemberian vaksin kepada bukan warganegara yang sudah mendaftar di MySejahtera bermula sejak kelmarin (Isnin).
Beliau berkata, pemberian vaksin kepada bukan warganegara di daerah ini selaras ke arah mencapai imuniti kelompok.
“Hal ini kerana, jumlah penduduk tempatan dan bukan warganegara di Kunak adalah lebih kurang sama, dengan keseluruhan penduduknya kira-kira 57,000 orang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya pihaknya dalam rangka menyelesaikan baki seramai 3,600 orang yang sudah mendaftar di Mysejahtera
“Kami menjangkakan ia selesai dalam masa empat hari dan selepas itu menumpukan semula program imunisasi secara walk-in.
“Pada minggu hadapan, kami akan beri vaksinasi mengikuti kawasan dan terbuka kepada warganegara serta bukan warganegara di Dewan Masyarakat Sri Kunak,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima vaksin warga asing Jacquelyn Cabanting, 34, berasa gembira kerana akhirnya diberikan suntikan vaksin COVID-19 selepas tiga bulan menunggu dengan mendaftar di MySejahtera.
“Saya sudah 10 tahun di Kunak dan bekerja sebagai kerani di sebuah kedai tayar dan hari ini saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima vaksin.
“Sebelum ini saya risau jika masih tidak menerima vaksin kerana takut berdepan risiko kesihatan lebih teruk jika terjangkit COVID-19,” katanya.
Bagi seorang kerani sekolah rendah di sini, Norintan Mohd Dasul, 51, turut bersyukur kerana pasangannya Bahyah Bendie, 46, merupakan pemegang passport diberikan peluang mendapatkan vaksin COVID-19.
“Terima kasih kerajaan Malaysia kerana sebelum ini dilema juga sama ada isteri boleh atau tidak mendapatkan vaksin, namun saya daftarkan juga sejak Febuari lalu.
“Saya bersyukur pada Jumaat lalu isteri menerima janji temu untuk menerima vaksin hari ini dan lega kerana penyakit ini tidak mengenal usia, bangsa dan negara,” katanya.
إرسال تعليق