7 Abu Sayyaf akan didakwa sebelum diekstradisi

7 lelaki ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM

7 militan Abu Sayyaf yang ditahan dalam operasi khas akan didakwa di Sabah sebelum dihantar pulang



Tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan di Pulau Timbang, Sandakan, baru-baru ini akan dakwa mengikut Akta Imigresen sebelum diekstradisi ke Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam perbincangan bersama dengan pihak berkuasa Filipina.

"Kita percaya, semua tujuh suspek ini mempunyai rakan sekutu lain tetapi mungkin sudah melarikan diri berikutan operasi berterusan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

"Kita juga percaya ketujuh-tujuh suspek yang berjaya ditahan ini adalah sebahagian daripada kumpulan yang merancang penculikan di Sandakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.


HAZANI menurunkan tandatangan sebaik simbolik perasmian Tadika Kemas Al - Ghazali di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, pihaknya percaya dalang kegiatan itu yang mati ditembak atau ditangkap di daerah Beaufort dan Pulau Timbang sebelum ini merancang untuk menculik pemilik ladang di sekitar perairan pantai timur Sabah.

Namun katanya, rancangan itu terpaksa ditangguhkan buat masa ini ekoran usaha pemantauan berterusan yang dilakukan pihak berkuasa di Sabah.

"Polis amat serius untuk mematahkan segala perancangan yang dilakukan kumpulan militan Abu Sayyaf ini kerana kita tidak mahu mereka menjadikan Sabah sebagai kubu kuat atau tempat persembunyian mereka.

"Kita akan ambil tindakan yang lebih agresif termasuk mengumpul maklumat risikan dari semasa ke semasa.

"Usaha ini juga mendapat sokongan penuh daripada pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Sehubungan itu, Hazani menasihati pemilik ladang supaya tidak memberikan ruang kepada pendatang asing tanpa izin (Pati).

Katanya, mereka perlu membuat pengesahan dari aspek dokumentasi untuk sekurang-kurangnya mempunyai maklumat siapa individu yang diambil bekerja.

Dalam kejadian 17 Mei lalu, polis berjaya menembak mati lima lelaki dipercayai ahli Kumpulan Abu Sayyaf di sebuah penempatan haram di kawasan hutan Taman Sri Arjuna, Beaufort.

Dalam kejadian itu, polis turut berjaya merampas pelbagai senjata api yang digunakan dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa negeri ini.

Susulan kejadian itu, PDRM sekali lagi menembak mati dua ahli kumpulan Abu Sayyaf dalam operasi di Pulau Timbang, Sandakan, 20 Ogos lalu.

Polis Sabah nafi Sandakan jadi sel kumpulan Abu Sayyaf

Polis Sabah menafikan dakwaan bahawa Sandakan dijadikan sebagai sel bagi kumpulan Abu Sayyaf (ASG) susulan insiden 2 lelaki ditembak mati dan 7 lagi ditahan adalah kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dalam operasi khas yang dilaksanakan minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, keadaan kawasan pantai timur Sabah yang panjang itu menjadi pintu masuk bagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Dakwaan itu tiada. Tahulah Sabah ini dari timur Sabah ada 1,470 kilometer pantai. Memang itulah pintu masuk utama.

"Bila pasukan keselamatan keluar, tidak kira polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tentera keluar, mereka akan masuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan ahli ASG yang ditembak mati dan ditangkap minggu lalu.


Datuk Hazani Ghazali ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, Hazani menegaskan bahawa tindakan agresif akan diambil apabila pihak keselamatan Filipina mengesahkan jika ada ahli kumpulan itu berada masuk ke Sabah.

"Mesej kita sudah sampai di seberang (Filipina) yang kita akan ambil tindakan agresif. Masuk ke sini, kita sahkan pihak keselamatan dan juga Filipina jika mereka ini ASG, kita ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Hazani dalam pada itu turut menyeru supaya pemilik ladang atau pemaju supaya tidak memberi ruang kepada PATI, tolong buat pengesahan serta semak dokumentasi.

Post a Comment

أحدث أقدم