Belum ada yang dapat diraikan dalam peperangan melawan Covid-19, kes di Sabah naik semula

Masidi: Sebanyak 39.0% penduduk dewasa negeri Sabah telahpun memperolehi dos vaksin yang lengkap dan 58.4% telahpun mengambil satu dos setakat 3petang hari ini.

KOTA KINABALU: Kes harian Covid-19 di Sabah naik semula ke 2,594 hari ini, penambahan sebanyak 284 kes berbanding kelmarin (2,310).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, lima daerah merekodkan penambahan kes yang ketara hari ini.




Katanya, jumlah kes di Papar naik mendadak kepada 264 (+215) daripada 49 kes sahaja kelmarin, sementara Sandakan menambah 68 kes, Putatan naik 37 kes, Penampang dan Kota Kinabalu masing-masingmenambah 31 kes.

Bagaimanapun, tambahnya, tiga daerah iaitu Tuaran mencatatkan penurunan sebanyak 103 kes, manakala kes di Kota Belud turun sebanyak 22 dan Kinabatangan, turun sebanyak 24.

“Hari ini ialah Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut dan diraikan setiap tahun.


“Tetapi dalam peperangan kita melawan pandemik Covid, belum ada yang kita boleh raikan hari ini. Selepas kes harian turun dua hari berturut turut, ia naik semula hari ini sebanyak 284 kes, menjadikan jumlah baharu keseluruhan 2,594.

“Walaupun saringan kontak rapat masih penyumbang utama kepada kes-kes baharu, iaitu 1,573 kes (60.6%), tetapi jumlah yang diperolehi daripada saringan bergejala naik kepada 30.3% (787) berbanding 29.4% (680) kelmarin.

“Kes dalam kategori ini adalah dianggap kes-kes sporadik, yakni pembawa / punca virus sukar dikenalpasti mahupun tempat dimana dijangkiti…tetapi ia tanda-tanda bahawa virus sudahpun berada dalam komuniti kita,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.


Jelasnya, kes-kes sporadik ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kecuaian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta amalan penjagaan kesihatan diri yang tidak sempurna.

“Peratusan kes daripada kategori ini agak tinggi dibeberapa daerah kalau kita ambil statistik hari ini sebagai petunjuk; Tawau sebanyak 44.6%, Penampang 41.4%, Putatan 38.5% dan Kota Kinabalu 31.9%,” ujarnya.

Daripada 2,594 kes hari ini, 1,938 (74.7%) pesakit adalah dalam kategori dua, 564 (21.7%) pesakit dalam kategori satu, 15 orang dalam kategori tiga, 4 orang dalam kategori empat dan 12 pesakit dalam kategori lima. Seramai 61 pesakit lagi masih dalam siasatan.


Masidi turut memaklumkan bahawa Sabah sedang menghampiri angka 40%, jumlah penduduk dewasa yang telah melengkapkan pengambil dos vaksin.

“Setakat jam 3 petang ini (31/8), seramai 39.0% penduduk dewasa negeri Sabah telahpun memperolehi dos vaksin yang lengkap dan 58.4% telahpun mengambil satu dos,” katanya. - Warta Online

Jumlah kes mengikut daerah:

Kota Kinabalu 567 (536)
Sandakan 320 (252)
Penampang 268 ( 237)
Papar 264 ( 49)
Tawau 168 ( 148)
Tuaran 156 (259)
Keningau 138 (113)
Lahad Datu 95 (80)
Kota Marudu 81 (95)
Putatan 81 (44)
Kota Belud 76 (98)
Tenom 49 ( 47)
Ranau 41 (37)
Beaufort 41 (25)
Telupid 33 (42)
Nabawan 30 (40)
Kinabatangan 26 (50)
Pitas 25 (21)
Kudat 24 (16)
Kunak 22 (8)
Beluran 21 (19)
Sipitang 20 (38)
Kalabakan 13 (14)
Tambunan 10 (6)
Kuala Penyu 10 (11)
Semporna 8 (10)
Tongod 7 (15)


(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin – 30/08)


Kluster Baharu

Kluster Sawit Jeroco
Lahad Datu 57(+25)
Kluster Nasakot,
Ranau 31(+2)

Post a Comment

أحدث أقدم