Bimbang Barisan Dipotong Punca Keadaan Tidak Terkawal Di PPV Lahad Datu

Keadaan tidak terkawal dipercayai berlaku di pekarangan PPV Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu kerana orang ramai tidak mengendahkan SOP.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



KOTA KINABALU: Bimbang barisan dipotong individu lain dipercayai punca orang ramai yang datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) sehingga keadaan tidak terkawal.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, polis mengesan dua PPV di negeri ini iaitu di Taman Harmoni, Batu 3, Sandakan dan Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu diserbu orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin.


Menurutnya, polis percaya kehadiran orang ramai itu disebabkan pengumuman kerajaan berhubung individu yang mempunyai dua dos suntikan diberi kebenaran untuk rentas sempadan dan ‘dine in’ selain vaksin di PPV terbabit boleh diperoleh secara ‘walk in’.

“Pada awalnya, kedua-dua pusat itu hanya dikawal oleh dua anggota polis dan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Bagaimanapun, selepas orang ramai bertindak menyerbu PPV di kawasan mereka bagi mendapatkan giliran terawal, pasukan polis terus melakukan penambahan keanggotaan untuk mengawal keadaan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Keadaan tidak terkawal dipercayai berlaku di pekarangan PPV Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu kerana orang ramai tidak mengendahkan SOP.
Mazli memberitahu, kekecohan tercetus selepas orang ramai yang berada di lokasi tidak mengendahkan SOP kerana bimbang barisan mereka akan dipotong oleh mereka yang datang lewat.


Katanya, keadaan terus tidak terkawal selepas ada pihak yang berang kerana ramai berdiri terlalu hampir antara satu sama lain.

“Berdasarkan keadaan itu, seramai 20 anggota dan pegawai pasukan pemantau dikerah ke lokasi bagi membantu mengawal keadaan di kawasan PPV daerah masing-masing.

“Kehadiran orang yang ramai itu pada awalnya tidak dijangka berdasarkan keadaan PPV sebelum (terkawal),” katanya.


Sehubungan itu, Mazli menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan atau kompaun dikeluarkan kerana kebanyakan mereka yang hadir adalah dari luar bandar dan berkemungkinan kurang faham dengan SOP ditetapkan,” katanya. – SINAR

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم