Dunia seni hanya persinggahan Jo-Anna Rampas

TIMBALAN Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN), Jo-Anna Sue Henley Rampas.

Jo-Anna dari ratu cantik, ke ratu rakyat



Meninggalkan dunia glamor sebagai seorang anak seni tidak sedikit pun membuatkan wanita kacukan Inggeris-Dusun, Jo-Anna Sue Henley Rampas,32, berasa terkilan. Kerjaya dalam bidang seni dilihat sekadar satu persinggahan. Ia bagi menimba pengalaman selepas menamatkan zaman persekolahan. Menjuarai pertandingan ratu cantik, Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan pada 2007 membuka ruang kepadanya untuk mula menceburi bidang seni.

Meskipun kini aktif dalam politik, gelaran Unduk Ngadau atau ratu cantik Pesta Kaamatan disandang Jo-Anna Sue Henley Rampas, pada 2007 kekal sehingga kini, malah masih ada yang memanggilnya ‘ratu’ dan Unduk Ngadau setiap kali turun padang berjumpa rakyat.

Jo-Anna, 30, yang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui masih ada pihak mengaitkan pembabitannya dalam politik sekadar untuk meraih populariti setelah beliau bekas Unduk Ngadau.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu bagaimanapun menolak tanggapan sedemikian kerana gelaran itu diterimanya 12 tahun lalu dan kini aktif dalam pelbagai aktiviti politik, termasuk pernah bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tahu apabila membabitkan diri dalam politik ada yang cakap hanya untuk populariti saja kerana saya adalah Unduk Ngadau. Tetapi, saya menjadi ratu sudah lebih 12 tahun lalu, ketika berusia 18 tahun.


Jo-Anna sering menerima undangan sebagai pembentang dalam kursus memperkasa wanita.
“Pada masa itu, saya tidak terfikir pun 12 tahun akan datang, akan menyertai politik.

“Saya tidak rasa gelaran ratu itu untuk meraih populariti tetapi mungkin ia bonus kepada saya kerana sudah dikenali sebelum aktif dalam politik,” katanya sambil menambah bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan juga bekas pelakon sebelum menjadi presiden.

Fasih berbahasa ibundanya, Dusun selain bahasa Melayu dan Inggeris, Jo-Anna menyifatkan pembabitan dalam politik masih baharu, namun ia pencapaian terbaik sebelum melangkah ke usia 30-an.

“Saya mahu membuat perubahan khususnya kepada rakyat tetapi nasib tidak menyebelahi pada PRU-14 lalu, mungkin belum rezeki.

“Tetapi, saya melihatnya secara positif dan ini juga pengalaman untuk membuat yang terbaik lagi pada masa hadapan.

“Saya juga merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberi peluang kepada saya menjadi Setiausaha Politik beliau (Kementerian Kewangan Negeri).

“Tugas ini merangkumi banyak aspek termasuk menjadi jambatan dalam sistem kerajaan antara Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan dengan rakyat,” katanya kini lebih kerap turun padang bukan saja di Kiulu malah seluruh Sabah.

Jo-Anna yang berasal dari Kampung Poturidong, Kiulu dan sudah berkahwin dengan doktor perubatan dari Kajang, Selangor, mengakui wajah Pan Asian dimilikinya diwarisi hasil perkahwinan campur antara Inggeris sebelah bapa dan

Dusun di pihak ibu sehingga menarik perhatian umum.

Petah berkata-kata khususnya membabitkan isu rakyat, tidak hairanlah beliau diberi gelaran ‘beauty with brain’ kerana beliau juga pemegang Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dan Tanggungjawab Sosial Korporat dari University of the West di England.

“Kelulusan saya tidak lari juga dengan politik malah ia banyak membantu saya dalam kerjaya termasuk sebagai Setiausaha Politik,” katanya.

Menceritakan rentetan pembabitan awal dalam politik, Jo-Anna berkata, individu pertama mempelawa menyertai politik ialah Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking disusuli Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

“Sebulan saya berfikir dan dua minggu sebelum berkahwin pada Disember 2016, saya mengambil keputusan menyertai WARISAN. Ada yang mempertikaikan keputusan itu termasuk tidak kurang menyatakan politik hanya untuk lelaki, bukan wanita.

“Ada juga bertanya kenapa saya tidak meneruskan kerjaya dengan kelulusan yang ada, tetapi jelaskan saya minat politik, mahu buat perubahan dan membantu rakyat, selain ibu bapa beri sokongan,” katanya.

Pembabitan Jo-Anna dalam arena politik bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ibunya, Sullah Rampas adalah calon Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) pada Pilihan Raya negeri 1994, manakala bapa saudaranya, Datuk Louis Rampas pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu selama tiga penggal.

Pada PRU-14, Jo Anna yang bertanding di kerusi DUN Kiulu, tewas kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Joniston Bangkuai daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pertandingan empat penjuru.

Walaupun sibuk dengan tugasan harian dalam politik mahupun di pejabat Ketua Menteri Sabah, Jo-Anna berkata, beliau akan memastikan masa lapang dihabiskan bersama suami selain pergi melancong.
Jo-Anna pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

PROFIL

Nama : Jo-Anna Sue Henley Rampas

Umur : 30 tahun

Tarikh lahir : 24 Mac 1989

Asal: Kiulu, Tuaran, Sabah

Adik-beradik : Anak sulung daripada 3 beradik

Status : Berkahwin dengan Dr Devindran Arumugam

Jawatan: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri

Timbalan Ketua Wirawati WARISAN

Pembabitan dalam politik: Disember 2016

Pendidikan awal: SK Pekan Kiulu dan SK St Anthony, Penampang serta SMK St Michael, Penampang

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of London dan Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dan Tanggungjawab Sosial Korporat dari University of the West of England.

Post a Comment

أحدث أقدم