Azharina Azhar |
Kuala Lumpur: Penyanyi Azharina bertindak menyunting semula hantaran di Facebook mengenai berita palsu kononnya naib juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Ebi Kornelis yang dirawat di Hospital Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah akibat Covid-19 sudah ditidurkan.
Azharina ketika dihubungi berkata, pada mulanya dia dimaklumkan berita itu oleh setiausahanya pagi, hari ini yang mendapat maklumat daripada sumber di hospital berkenaan.
"Saya pun tak tahu yang mula-mula itu berita palsu sehinggakan saya panik. Tambahan pula baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian ibu Ebi akibat Covid-19,"katanya.
Azharina berkata, dia kemudian dihubungi rakannya yang juga penyampai radio Sabah FM, Rasol Lai mengatakan itu ada berita palsu.
"Kawan rapat Ebi iaitu Ridzuan yang mengesahkan ia adalah berita palsu. Ridzuan juga memaklumkan Ebi akan dibenarkan pulang ke rumah hari ini," katanya.
Bapa Ebi, Yaimal dihantar ke Hospital Queen Elizabeth akibat kekurangan oksigen. - Foto Ebi Kornelis |
Azharina berkata, dia memang kenal rapat dengan Ebi dan menubuhkan kelab untuk artis-artis Sabah bersama-sama.
"Saya tak hubungi Ebi sendiri kerana dia tak sihat dan perlu berehat," katanya.
Terdahulu, ibu Ebi iaitu Reni Bakar meninggal dunia akibat Covid-19 di HQE, Selasa lalu.
Ebi disahkan positif virus itu pada 8 Ogos lalu.
إرسال تعليق