Jangkitan di PTS, pengusiran lebih 2,000 Pati ditangguh

Kalabakan: Kerajaan terpaksa menangguhkan pengusiran balik lebih 2,000 pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah ke negara asal susulan berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS).



Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin berkata, jumlah itu membabitkan Pati dari Filipina serta Indonesia, masing-masing di PTS Sandakan dan Tawau.

"Mengikut rekod, sepatutnya kira-kira 200 warga Indonesia diusir ke negara asal pada minggu ini, malah kapal yang membawa mereka juga sudah tiba di Tawau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Jonathan berkata, pihaknya mendapat permohonan daripada pihak berkuasa Indonesia supaya menangguhkan sementara penghantaran semula warga republik itu bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

"Ini turut membabitkan kerajaan Filipina, dan menyebabkan kami menangguhkan sementara pengusiran kira-kira 2,000 warga penduduknya yang kini dalam tahanan di PTS Sandakan ke Zamboanga, Filipina," katanya.

Menurutnya, proses pengusiran pendatang tanpa izin itu akan dilakukan sebaik sahaja keadaan jangkitan Covid-19 membabitkan tahanan di PTS terkawal.




Sementara itu, awal pagi tadi Jonathan turut bersama Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin meninjau operasi Ops Patuh Bersepadu di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar di sini.

Operasi bermula 12 tengah malam tadi dan berakhir 3 pagi itu dengan pembabitan 94 pegawai serta anggota Imigresen menahan 92 pekerja kilang papan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh sah yang ditetapkan di negara ini.


Menurut Jonathan, semua tangkapan akan ditempatkan di pusat transit dan diasingkan dari tahanan PTS sedia ada.

"Mereka akan disanitasi sebelum dibawa ke pusat transit dan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Post a Comment

أحدث أقدم