Kerajaan tangguh hantar pulang lebih 2,000 PTI disebabkan COVID-19

Jonathan (dua kanan) semasa mengetuai operasi berkenaan.



TAWAU: Kerajaan menangguhkan penghataran pulang lebih 2,000 pendatang tanpa izin (PTI) di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini ekoran berlakunya jangkitan COVID-19 dikalangan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata, jumlah itu membabitkan PTI dari negara Filipina dan Indonesia.

“Kerajaan sepatutnya menghantar pulang lebih 200 warga Indonesia ke negara asal mereka dalam minggu ini, malah kapal yang akan membawa mereka juga sudah tiba di Tawau.

“Namun, rencana itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana lebih 100 orang daripada mereka didapati positif COVID-19,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.

Jonathan berkata, pihaknya juga mendapat permintaan dari Indonesia untuk menangguhkan sementara penghantaran semula warganya bagi mengurangkan risiko penyebaran COVID-19.

“Ia turut membabitkan kerajaan Filipina yang mana menyebabkan kita menangguhkan sementara pengusiran kira-kira 2,000 warganya dari Sandakan ke Zamboanga.

“Proses penghantaran pulang akan dilakukan semula sebaik sahaja keadaan jangkitan COVID-19 membabitkan tahanan di PTS sudah terkawal, ”katanya.

Terdahulu beliau mengetuai Ops Patuh Bersepadu di Tanah Merah, Merotai Besar, di sini, yang bermula jam 12 tengah malam.

Turut hadir Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dan Ketua Imigresen Tawau Razman Manap.

Menurut Jonathan, operasi itu membabitkan lebih 90 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Operasi di dua kawasan penempatan rumah pekerja itu berjaya menahan seramai 92 pekerja kilang dan keluarga mereka.

“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, semua tangkapan tersebut akan ditempatkan di pusat transit dan diasingkan dari tahanan PTS sedia ada.

“Mereka akan disanitasi sebelum dibawa ke pusat transit dan menjalani ujian saringan COVID-19 yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Jonathan berkata, operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi memberi kesedaran dan amaran kepada mereka yang tidak berdokumen tinggal di negara ini.

“Walaupun banyak kekangan semasa pandemik ini, namun tidak menghalang pihak berkuasa untuk menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

“Sebaiknya mereka perlu kembali ke negara asal dan sekiranya mahu bekerja di sini perlu mendapatkan permit yang sah dan pasport supaya tidak bermasalah dikemudian hari,” katanya.

Post a Comment

أحدث أقدم