Kes di Sabah dijangka kekal tinggi

Jumlah kes hanya akan mula turun apabila lebih ramai penduduk divaksin: Masidi



Kota Kinabalu: Kes-kes Covid-19 di Sabah dijangka kekal tinggi sehingga satu peratusan signifikan rakyat Sabah divaksin sepenuhnya, kata Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sabah merekodkan empat angka yang tinggi secara berterusan sejak minggu lalu, dengan rekod terbaru pada Selasa ialah 1,383 kes, satu lagi rekod tertinggi dan lonjakan sebanyak 136 kes berbanding 1,247 Isnin lepas.

“Angka itu boleh diramal dan dijangka. Sehingga sekurang-kurangnya satu tahap peratusan signifikan penduduk diberikan vaksin, bilangan itu akan kekal tinggi.

“Kes-kes hanya akan mula turun apabila kita berjaya memberikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa dalam keadaan di mana virus Covid-19 telah pun berada di tengah-tengah masyarakat, kita sedang bersaing dengan masa untuk memberi vaksin kepada setiap orang yang layak untuk disuntik dengan kadar segera.

“Ini bermakna kes-kes baharu akan terus berada dalam angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperolehi vaksin. Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya.

“’Padang permainan’ virus itu telah berkembang dan kini lebih sukar untuk menangkapnya.

“Strategi kita sekarang ialah memberikan vaksin kepada setiap orang dewasa secepat mungkin supaya virus itu akan kehabisan mangsa atau bilangan mangsa kurang untuk dijangkiti,” katanya.

Masidi menjelaskan bahawa Jabatan Kesihatan Sabah dan agensi-agensi berkaitan bekerja dengan proaktif untuk memberi vaksin kepada orang ramai pada kadar yang pantas.

“Setakat 9 Ogos, 1,126,645 dos telah diberikan dan ini bermakna 40.9 peratus penduduk dewasa Sabah telah disuntik dengan sekurang-kurangnya dos pertama.

“Mereka yang telah melengkapkan kedua-dua dos masih rendah, iaitu hanya 17.6 peratus atau 485,880 dos.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kapasiti suntikan JKNS sambil memastikan bekalan mencukupi vaksin yang ada,” kata Masidi.

Menurutnya, 22,784 individu di bawah fasa dua telah menerima dos pertama pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan 1,081,380 sementara 13,989 telah menerima dos kedua, menjadikan angka keseluruhan 430,353.

Sementara itu Masidi menasihatkan rakyat agar terus memainkan peranan penting untuk mengawal penularan jangkitan virus itu dengan mengamalkan disiplin dan penjagaan kesihatan diri yang tinggi dengan mematuhi semua SOP.

“Bilangan tinggi kes membabitkan kontak rapat menunjukkan bahawa segelintir kita masih cuai dalam mematuhi SOP.

“Ia juga adalah satu peringatan untuk kita mengurangkan aktiviti sosial bersama rakan-rakan supaya kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Sabah merekodkan 12 kematian pada Selasa iaitu lima di Tawau, tiga di Sandakan dan masing-masing satu di Keningau, Kota Kinabalu, Telupid dan Tenom.

Satu kluster baharu dikenal pasti di Ranau, dinamakan Kluster Timbua, yang tercetus oleh satu perhimpunan dalam majlis korban di Masjid Timbua.

“Kes indeks ialah seorang pesakit kanser lelaki berumur 52 tahun yang diuji positif pada 23 Julai dalam satu saringan pra-kemasukan. Penjaganya di wad turut diuji positif,” kata Masidi.

Beliau menambah dari 239 kontak yang disaring, 48 diuji positif, sementara 95 negatif dan 97 sampel ujian masih menunggu keputusan.

“Selain Kg Timbua, kes-kes dalam kluster ini juga membabitkan lokaliti lain termasuk Kg Lembah Permai, Kg Kembiroi, Kg Merungin 2 dan Ibu Pejabat Polis Ranau,” katanya.

Mengenai jumlah kes di Sabah, Kota Kinabalu merekodkan jumlah tertinggi dengan 326, disusuli Tawau dengan 168, Sandakan (138) dan Tuaran dengan 92.

Kontak rapat terus menjadi penyumbang terbesar dengan 749 kes, merupakan 54.2 peratus jumlah kes, disusuli kes bergejala (322), kes kluster (111) dan kes saringan bersasar (73).

Sementara itu, 11 lokaliti akan diletakkan di bawah PKPD bermula esok (12 Ogos) hingga 25 Ogos, iaitu tiga lokaliti di Kota Kinabalu (kuarters Kilang J&L, Kg Gudon, Manggatal dan Kg Lobou) serta di Kg Menunggui di Kota Belud, Kg Tengah di Kinarut, Kg Petagas di Putatan, Kg Pogunon di Penampang, Kg Timbua-Kembiroi-Lobou Baru di Ranau, Kg Batu 1 di Sipitang, Kg Bukit Kukusan di Tawau dan Kg Batu-Batu di Tenom.

PKPD di enam lokaliti di KK dilanjutkan bermula esok hingga 25 Ogos iaitu Bandar Sierra, Kg Kalasanan, Kg Pulau, Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.

PKPD di 21 lokaliti ditamatkan hari ini iaitu lima lokaliti di KK (Kg Unggun, Lorong Cina 1,2&3, Kg Tebobon, Plaza Kingfisher dan Polytechnic Commercial Centre) serta lapan lokaliti di Penampang (Country Heights Fasa 1,2 dan 3, Cyber City Fasa 1, Kg Nabangkung, Kg Ramayah, Taman Vista Kiranau, Kg Sarapung Kolopis, Vista Minitod dan Kg Tuunon).

Turut tersenarai ialah empat lokaliti di Beaufort (Kg Lumadan, Kg Kebulu Petani, Kg Beaufort Selatan dan Taman Arjuna), tiga lokaliti di Tawau (Kg Blok 31, Kg Tg Batu Darat, Kg Darat Inderasabah) dan Perumahan Ladang Tinabau di Kinabatangan.

Post a Comment

أحدث أقدم