Taman Sri Rugading di Tuaran telah dikenakan PKPD bermula 30 Julai lalu, dan ia telah dilanjutkan beberapa kali, terbaru sehingga 9 Sep.
KOTA KINABALU: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sudah lebih sebulan dilaksanakan di Taman Sri Rugading, Tuaran, iaitu sejak 30 Julai, tetapi jumlah kes masih tinggi.
“Saya pun tidak faham, kami hidup dalam keadaan penuh tekanan setiap hari,” luah seorang penduduk, Mariah Doksil, 38.
Katanya, dia dan jiran-jirannya pada mulanya sangat setuju dengan pelaksanaan PKPD bertujuan memutuskan rantaian Covid-19 namun ia menjadi semakin tidak masuk akal apabila perintah itu dilanjutkan beberapa kali.
”Mula-mula kami memang setuju dengan PKPD di sini (Sri Rugading) kerana hampir setiap hari ada kes (Covid-19), sehinggakan ‘group’ Whatsapp komuniti di sini ‘update’ dengan kehadiran KKM (Kementerian Kesihatan) membawa pesakit positif setiap hari.
”Ketika awal PKPD dilaksanakan, jumlah kes dalam 1km radius yang tertera dalam (aplikasi) MySejahtera tidak sampai 100 tetapi selepas empat minggu PKPD, sudah ada 255 kes.
”Sebagai seorang wartawan, saya ada juga maklumat mengenai statistik dan saya faham mungkin ianya kes-kes ‘backlog’ tetapi seperti kata Masidi (Manjun), virus (Covid-19) ini sudah berada dalam komuniti, jadi bagi saya PKPD tidak lagi praktikal,” katanya kepada FMT.
Mariah berkata, PKPD di kawasannya tidaklah begitu sukar kerana masih ada kedai serbaneka yang dibuka di dalam lokaliti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, hidup “berkurung” dalam unit pangsapuri sangat mencabar lebih-lebih dengan tiga orang anak berusia tujuh, empat dan dua tahun yang sering merungut kerana tidak dapat keluar rumah.
”Semua boleh buat juga, PdPR (Pembelajaran dan Pengajaran Dari Rumah) anak-anak, bantu NGO kumpul dana di Pitas secara dalam talian, kerja dari rumah, tapi bila ada anak-anak kecil memang kadang-kadang rasa sedih kerana mereka balik-balik mahu keluar bermain, pergi pantai.
”Sebelum ini kami balik Kota Belud setiap minggu yang jaraknya dekat, dan di situ mereka boleh bermain sebab ada halaman rumah, tetapi di sini berkurung sajalah.
”Anak-anak saya sudah mula rasa seperti tertekan dan bosan, masuk fasa ke-3 (PKPD) ini. Saya sampai tahap biarkan saja mereka bermain telefon kerana tidak tahu apa lagi aktiviti yang mereka boleh buat, tinggal pangsapuri bukannya ada tanah tempat mereka dapat bermain,” katanya.
Mariah turut akui emosinya terkesan dengan PKPD yang berlarutan dan berharap ia akan berakhir secepat mungkin.
”Kita ini biasa hidup bersosial, berkawan dan berjumpa dengan ahli keluarga lain. Tiba-tiba terkurung memang memberi kesan kepada emosi.
”Kalau orang tua pun boleh tertekan, apa lagi kanak-kanak, mereka ini bukan pandai luahkan perasaan,” katanya.
PKPD di Taman Sri Rugading telah beberapa kali dilanjutkan termasuk yang terbaru sehingga 9 Sep.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق