Pegawai tinggi dari sabah mangsa pertama kematian Covid-19 berkaitan Parlimen

SEMUA yang berada dalam Parlimen semasa Sidang Khas Dewan Rakyat hujung bulan lalu, menjalani ujian saringan susulan terdapat kes positif Covid-19 di Parlimen.



Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan kes kematian pertama Covid-19 melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan yang berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian pertama yang baharu dikesan positif Covid-19 dengan ujian RT PCR pada 31 Julai lalu hadir semasa persidangan Dewan Rakyat.

“Pesakit adalah seorang pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen dengan ujian saringan pra-Dewan Rakyat pada 23 Julai dan ujian RTK-Ag Self-Test Kit Saliva pada 29 Julai adalah negatif sebelum menunjukkan gejala pada 31 Julai.

“Susulan itu, ujian PCR mendapati pegawai tinggi kerajaan itu positif Covid-19 dengan nilai kitaran ambang 14.88. Keadaan beliau bertambah teruk dan dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos 2021 tetapi keadaan beliau amat kritikal dan meninggal dunia semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, terdapat penambahan sembilan lagi kes berkaitan sidang Parlimen menjadikan keseluruhan kes dikesan adalah 97 kes.




Katanya, sembilan kes tersebut termasuk satu kes kematian, manakala bakinya iaitu empat kes kontak rapat kepada kes positif hasil saringan semasa Pra-Dewan Rakyat yang mana ia baru dilaporkan Pejabat Kesihatan Daerah dan dikesan positif menggunakan RTK Ag pada 23 Julai.

“Kesemua kes didapati bergejala ringan dan diberi Perintah Pengawasan dan Kawalan (HSO) di rumah malah semua mereka kini juga pulih dan mula bekerja setelah tamat HSO.

“Baki empat kes kontak rapat kepada kes positif hadir semasa persidangan Dewan Rakyat melibatkan satu kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR iaitu 19.62 manakala yang lainnya adalah di antara 32.76 sehingga 36.07,” katanya.

Tambahnya, enam kes sudah lengkap mendapat dua dos vaksin dan dua lagi kes adalah kanak-kanak iaitu kontak rapat kes yang belum layak mendapat vaksin.

“Hasil siasatan setakat ini mendapati walaupun kes-kes positif ini tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain kecuali kontak rapat, namun perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan oleh ramai individu memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen,” katanya.

Noor Hisham sebelum ini mendedahkan terdapat keseluruhan 85 kes positif dikesan berkaitan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan selama empat hari bermula 26 Julai lalu. 

Post a Comment

أحدث أقدم